Ahlan Wasahlan

Selamat Datang ke alam Insan Bernama Kekasih

Sabtu, 31 Julai 2010

Menjauhkan Diri Daripada Dosa

Kehidupan manusia di muka bumi ini diatur oleh hukum-hukum Allah yang tercantum di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasullullah SAW. Hukum-hukum Allah tersebut jika dijalankan akan memperoleh keberkatan dan pahala. Sebaliknya jika ditinggal atau diabaikan maka akan mendapat dosa dan balasan yang pedih baik di dunia mahupun di akhirat. Dosanya yang dikerjakan akan menambah kegelisahan dalam jiwa sehinggakan kehidupan menjadi tidak tenteram. Rasullullah SAW bersabda maksudnya:

"Dosa adalah sesuatu yang menggelisahkan jiwa kamu, dan kamu tidak senang jika sesuatu dosa itu nampak oleh orang lain" (riwayat Imam Ahmad)

PERINTAH ALLAH AGAR MENINGGALKAN DOSA

Banyak sekali ayat-ayat Al-Quran menjelaskan bahawa yang mengerjakan pekerjaan maksiat dan dosa akan menerima balasan yang pedih daripada Allah SWT. Begitu juga bagi mereka yang sabar dan tabah dalam menempuh cubaan dan godaan akan menjadi insan yang sentiasa dalam lindungan Allah SWT, hati menjadi tenang dan hidup dalam suasana aman dan damai serta terhindar daripada gangguan kejiwaan.

1. BERBUAT DOSA AKAN MENERIMA BALASAN DAN SEKSAAN.

Firman Allah SWT maksudnya:

"Dan tinggalkanlah dosa yang nampak dan yang tersembunyi. Sesungguhnya orang-orang yang mengerjakan dosa, kelak akan diberi pembalasan(pada hari kiamat), disebabkan apa yabg telah mereka kerjakan." (Al-An'am:120)

2.JANGAN MENGIKUTI ORANG KAFIR DAN BERDOSA

Firman Allah SWT maksudnya:

"Maka bersabarlah kamu untuk melaksanakan ketetapan Tuhanmu, dan janganlah kamu ikuti orang yang berdosa dan orang kafir di antara mereka...". (Al-Insaan:24)

3.MENINGGALKAN DOSA MENDAPAT TEMPAT YANG MULIA.

Firman Allah SWT maksudnya:

"Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar diantara dosa-dosa yang dilarang, kamu mengerjakan, nescaya Kami hapus kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosa kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga)." (An-Nisaa':31)

4.MEMBERI MAAF MENJAUHKAN DIRI DARIPADA DOSA

Firman Allah SWT maksudnya:

"Dan bagi orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan-perbuatan keji, dan apabila mereka marah,mereka akan memberi maaf." (Asy-Syuura:37)

5.BALASAN BAGI YANG MEMBUAT KEZALIMAN

Firman Allah SWT maksudnya:

"Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat yang sebelum kamu, ketika mereka berbuat kezaliman, padahal Rasul-Rasul mereka telah datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, tetapi mereka sekali-kali tidak hendak beriman. Demikianlah Kami memberi pembalasan kepada orang-orang yang berbuat dosa." (Yunus: 13)

PEMBAHAGIAAN DOSA

Jika ditinjau dari aspek berat atau ringannya seksaan yang diterima bagi orang yang melakukan dosa, maka dosa itu dapat dibahagikan kepada dua, iaitu dosa besar dan dosa kecil. Bukanlah bererti pembahagiaan ini menunjukkan bahawa dosa kecil itu lebih ringan dan boleh dilakukan, malah dosa kecil jika sering dilakukan maka ia akan menjadi dosa besar. Pembahagiaan ini berdasarkan ayat-ayat Al-Quran dan Hadis Rasullullah SAW.

Firman Allah SWT maksudnya:

"Iaitu orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji yang selain dari kesalahan-kesalahan kecil. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas ampunan-Nya." (An-Najm:32)

Rasullullah SAW bersabda maksudnya:

"Dari Usman bin Affan berkata: Aku telah mendengar Rasullullah SAW bersabda: "Setiap orang Islam apabila waktu solat fardu telah tiba, kemudian ia menyempurnakan wuduknya dan melakukan solat dengan khusyuk, melainkan solat itu akan menghapuskan dosa-dosa yang dilakukan sebelumnya, selama tidak melakukan dosa besar, yang demikian itu berlaku sepanjang masa." (HR: Muslim)

Dalam hadis yang lain, Rasullullah bersabda maksudnya:

"Dari Abu Hurairah berkata: "Sesungguhnya Rasullullah SAW bersabda: "Solat lima waktu dan solat Jumaat sehingga solat Jumaat yang lain itu sebagai penghapus dosa-dosa yang telah dilakukan di antara waktu solat itu, sepanjang tidak melakukan dosa-dosa besar."
(HR: Muslim)

Sebahagian ulama' ada mengatakan tentang dosa, sesungguhnya bahawa tidak mungkin ada dosa besar yang disertai dengan istighfar dan tidak mungkin ada dosa kecil yang dilakukan berulang-ulang dan tidak disertai dengan istighfar. Dengan demikian, dosa tidak ada yang besar atau kecil asal disertai dengan istighfar dan tidak dilakukan secara berulang-ulang. Sesungguhnya Allah SWT akan mengampunkan segala dosa baik dosa besar mahupun dosa kecil kecuali dosa syirik.

Firman Allah SWT maksudnya:

"Allah mengampuni dosa dan menerima taubat lagi keras hukumannya, yang mempunyai kurnia. Tiada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya lah tempat kembali(semua makhluk)." (Al-Mukmin:3)

Firman Allah lagi maksudnya:

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari syirik itu, bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang telah mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya dia telah berbuat dosa yang besar."
(An-Nisa' :48)

Allah SWT berfirman lagi maksudnya:

"Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan sesuatu dengan Dia, dan Dia mengampuni dosa selain dari syirik itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan sesuatu dengan Allah, maka sesungguhnya dia telah sesat sejauh-jauhnya." (An-Nisa':116)

Selasa, 13 Julai 2010

Nisfu Syaaban

Kita sekarang berada di bulan Syaaban. Sesetengah orang Islam mengkhususkan malam nisfu Syaaban dengan doa-doa dan sembahyang.. Apakah amalan mereka ini terdapat dalam syarak dan apakah ada kelebihan pada malam nisfu Syaaban?

Ada beberapa hadis yang menerangkan tentang kelebihan malam nisfu Syaaban,antaranya:

"Allah akan terus menerima amalan hamba-Nya pada malam nisfu Syaaban dan memperkenankan doa-doa mereka kecuali sebahagian dari mereka yang melakukan maksiat."

Hadis ini adalah hasan menurut sesetengah ulama' dan setengahnya mengatakan hadis ini daif. Kadi Abu Bakar Ibn al-Arabi berkata: "Tiada satu hadis pun yang menerangkan tentang kelebihan malam nisfu Syaaban.Jika kita terima hadis-hadis yang menerangkan tentang kelebihan malam ini dan menghidupkannya dengan penuh ketaatan ia tidak datang dari nabi,tidak juga sahabat,bukan juga dari kaum yang pertama selepas sahabat sedangkan mereka sebaik-baik manusia yang hidup di kala itu dan mereka tidak pernah berkumpul beramai0ramai di masjid untuk menghidupkan malam ini dan membaca doa yang tertentu sebagaimana kita tahu di sesetengah negara Islam."

Di sesetengah negara,orang berkumpul di masjid selepas Maghrib,membaca surah Yasin kemudian sembahyang dua rakaat dengan niat panjang umur! Kemudia membaca doa,doa yang mereka baca itu tidak ada nas dan juga tidak pernah dilakukan oleh sahabat. Doa itu juga mempunyai makna dan susunan yang tidak tepat.

Antara doa yang mereka baca adalah seperti berikut:

"Ya Allah! Andai telah ditakdirkan di sisi-Mu akan aku dalam kitab azali bahawa aku celaka dan diharamkan akan daku,terusir atau sedikit rezeki,maka hapuslah dengan kemurahan-Mu kecelakaanku dan sedikit rezeki dan terusir serta kurang rezekiku itu dan tetapkanlah di sisi-Mu dalam azali itu dengan kebahagiaan, beroleh rezeki yang digunakan kepada kebaikan,sesungguhnya Engkau ada berkata dan kata-kataMu adalah benar sebagaimana tercantum di kitab-Mu yang Engkau turunkan atas lidah nabi-Mu: "Dihapuskan Allah apa yang dikehendaki atau tetapkannya dan di sisi-Nya kitab azali."

Ayat ini bermaksud bahawa kitab azali itu tiada penghapusan dan tiada penetapan. Penghapusan dan penetapan adalah selain dari kitab azali daripada mashaf malaikat-malaikat dan selainnya. Jika inilah makna ayat,bagaimana seseorang hamba itu memohon agar dihapuskan dan ditetapkan di dalam kitab azali sedangkan ia tidak boleh dihapuskan dan ditetapkan?

Adapun malam yang menjelaskan setiap perkara yang penuh hikmah daripada Allah ialah malam Lailatul Qadar di mana pada malam itu diturunkan Al-Quran. Ianya di bulan Ramadhan sebagaimana yang disebut di dalam Al-Quran. Firman Allah :

"Haa Miim, Demi kitab yang nyata, Kami turunkan kitab ini di malam yang penuh keberkatan, dan sesungguhnya Kamilah yang memberikan peringatan" [Al-Dukhan:1-4]

Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah. Firman-Nya lagi:

"Sesungguhnya Kami turunkan ia (Al-Quran) pada malam Lailatul Qadar." [Al-Qadr:1]

Firman Allah lagi;

"Bulan Ramadhan yang kami turunkan padanya Al-Quran." [Al-Baqarah:185]

Maka malam yang menjelaskan semua urusan yang penuh hikmah ialah malam di bulan Ramadhan iaitu malam Lailatul Qadar mengikut ijmak ulama'.

Hadis yang diriwayatkan dari Qatadah bahawa malam nisfu Syaaban ialah malam yang menerangkan segala urusan yang penuh hikmah adalah lemah dan daif kerana ada hadis lain yang diriwayatkan oleh Qatadah juga yang mengatakan ianya adalah malam Lailatul Qadar. Dalam bidang pengajian hadis, periwayat yang meriwayatkan dua hadis yang membawa maksud hadis yang bertentangan, maka hadis itu tertolak.Maka sudah pasti malam yang menjelaskan tentang semua urusan dan yang penuh hikmah itu adalah malam Lailatul Qadar sahaja, sebagaimana yang telah disepakati oleh jumhur ulama'.

Adalah lebih baik kita beribadat sebagaimana yang Rasul lakukan,jua sahabat dan mereka selepasnya yang lebih tinggi ilmunya. Adalah tidak wajar jika kita ikuti perbuatan mereka yang baru. Tiap-tiap perkara baru adalah bid'ah,bid'ah adalah sesat dan setiap kesesatan itu akan menuju neraka jika kita tidak kembali. Semoga Allah memberi kita taufik di atas ikutan kepada Rasul dan para sahabatnya. Waallahu'alam.


Ahad, 11 Julai 2010

Melihat Sebelum Bertunang

Apakah harus seorang pemuda melihat seorang gadis sebelum mengikat tali pertunangan?

Persoalan ini sangat penting. Di sini ada dua pendapat yang berbeza. Golongan yang pertama bukan sahaja mengharuskan lelaki melihat tunangnya bahkan membenarkannya keluar ke sana ke mari bersama-sama, pergi ke tempat perayaan, panggung wayang dengan alasan untuk mengenali wanita itu dan mengujinya.

Selepas itu perkara yang menyedihkan dan memalukan berlaku, lelaki itu meninggalkan gadis tersebut selepas menodainya dan setelah membawanya keluar di khalayak ramai. Lelaki itu bebas masuk ke rumahnya, keluar bersamanya dan melancong bersama-sama, namun akhirnya maruah gadis tersebut tercemar dan menjadi buah mulut orang ramai. Golongan ini merupakan hamba kepada kemajuan barat.

Golongan yang lain pula bertentangan pendapatnya dengan golongan di atas. Mereka tidak membenarkan sama sekali lelaki melihat tunangnya,begitulah seterusnya sehingga mereka berkahwin. Golongan ini ialah hamba kepada adat resam yang lapuk.

Kedua-dua golongan ini adalah dicela. Jalan yang paling baik di antara dua golongan ini ialah jalan yang di anjurkan oleh syariat sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasullullah iaitu seseorang itu boleh melihat tunangnya. Seorang lelaki Muslim telah berjumpa Nabi dan berkata :

"Saya telah meminang seorang perempuan dari bani Ansar"
Lalu Baginda Rasullullah bertanya kepadanya, "Apakah awak sudah melihatnya?" Jawabnya, "Tidak". Rasullullah bersabda lagi, "Lihatlah ia,kerana pada mata-mata wanita Ansar itu ada sesuatu."

Al-Mughirah bin Syu'bah telah meminta izin dari Nabi bahawa dia telah meminang seorang wanita, kata Nabi kepadanya, "Apakah engkau telah melihatnya?" Jawabnya, "Tidak." Lalu Nabi berkata kepadanya, "Lihatlah kepadanya semoga ia dapat menambahkan lagi kasih sayang antara kamu berdua"

Mata menyejukkan hati dan sampai kepada perasaan. Oleh itu mestilah dilihat dahulu sebelum berkahwin, ini adalah suruhan Nabi. Pada asalnya adalah suruhan, manakala pada zahirnya adalah wajib, sebagaimana maksud sebuah hadis :

"Apabila salah seorang kamu meminang seorang wanita dan berniat untuk berkahwin dengannya,maka lihatlah sebahagian dari tubuhnya agar ia membawa kepada perkahwinan".

Oleh itu haruslah bagi lelaki itu melihat bakal tunangnya dan keluarga wanita itu mestilah bekerjasama dengan membenarkannya sehingga masing-masing dapat melihat antara satu sama lain.

Dari sini adalah hak wanita itu untuk menolak atau menerimanya. Oleh itu mestilah masing-masing saling melihat sebelum berkahwin sehinggalah kehidupan rumahtangga dapat dibina di atas asas yang kukuh dan rukun-rukun yang selamat lagi teguh.

Ibubapa perlulah membantu demi menjaga perasaan anak perempuannya. Inilah jalan yang selamat daripada dua jalan yang melampau itu. Syariat Islam sentiasa berada di pertengahan dan adil kepada semua umat. Firman Allah :

"Demikianlah kami jadikan kamu umat yag pertengahan supaya kamu menjadi saksi kepada sekalian manusia" (Al-Baqarah:143)

Urusan keluarga menurut pandangan Islam bersifat menyeluruh. Kita perlulah menitikberatkan tentang urusan berkeluarga bermula dari pemilihan calon suami/isteri lagi. Justeru syariat Islam yang membenarkan kita melihat dahulu sebelum bertunang mampu menjamin kebahgiaan rumahtangga seterusnya melahirkan keturunan yang berilmu dan berakhlak mulia. InsyaAllah. Sama-samalah kita berdoa moga redha Allah bersama kita. Yang baik datang daripada Allah, yang buruk itu disandarkan atas kelemahan saya sendiri. Waallahu'alam..

Sabtu, 10 Julai 2010

Bulan Rejab, Bulan Allah?

Banyak kedengaran daripada khutbah Jumaat terutamanya pada awal bulan Rejab mengenai hadis-hadis yang diriwayatkan tentang kelebihan bulan ini, Allah janjikan pahala yang besar bagi orang yang berpuasa walaupun sehari di bulan ini. Antara hadis-hadis itu ialah:

"Bulan Rejab adalah bulan Allah, bulan Syaaban adalah bulanku, dan bulan Ramadhan adalah bulan umatku"

Apakah taraf sebenar hadis ini? Apakah benar di bulan Rejab disediakan sesuatu? Apakah hukum meriwayatkan hadis kepada orang ramai sedangkan hadis itu palsu semata-mata?


Tidak benar tentang adanya sesuatu di bulan Rejab melainkan ia adalah salah satu daripada bulan-bulan yang diharamkan yang disebut Allah dalam al-Quran(bulan-bulan haram:Rejab,Zulkaedah,Zulhijjah,Muharram)

Tidak ada hadis sahih yang menceritakan tentang kelebihan bulan Rejab. Walaupun begitu,ada sebuah hadis hasan menceritakan bahawa Nabi s.a.w. telah berpuasa (di bulan Rejab) lebih banyak daripada bulan Syaaban. Bila ditanya,baginda mengatakan : Kerana ia(Rejab) bulan pengampunan di antara Rejab dan Ramadhan.

Daripada hadis ini dapat difahami bahawa Rejab itu ada kelebihan. Adapun hadis "Bulan Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku, dan Ramadhan bulan umatku" adalah hadis yang sangat mungkar dan daif bahkan Ibnu Katsir mengatakan ia adalah hadis maudu' iaitu hadis yang dusta. Ia tiada nilai dari segi ilmiah,jua tiada nilai dari segi agama.

Begitu juga hadis-hadis lain yang meriwayatkan tentang kelebihan bulan Rejab iaitu siapa yang sembahyang demikian baginya pahala demikian, sesiapa yang meminta ampun sekali, baginya pahala bagi amalannya itu... Semua ini dusta dan berlebih-lebihan.

Di antara tanda dusta di dalam hadis-hadis ialah ia mengandungi perkara yang dilebih-lebihkan dan ditambah-tambah sebagai mana kata ulama. "Sesungguhnya janji dengan pahala besar di atas pahala yang kecil atau amaran azab yang pedih dengan dosa yang kecil menunjukkan hadis itu dusta.

Sebagaimana ada yang mengatakan tentang sebuah hadis :

"Sesuap makanan ke dalam perut orang yang lapar itu lebih baik daripada membina seribu masjid".

Hadis ini adalah dusta kerana tidak masuk akal sesuap makanan kepada orang yang lapar itu lebih besar pahalanya daripada pahala membina seribu masjid.

Tetapi kadang-kadangseseorang itu tidak mengetahui bahawa hadis yang diceritakan itu dusta. Oleh itu,wajiblah dia mengetahui punca datangnya hadis itu. Banyak buku-buku untuk mengetahui tentang taraf sesuatu hadis antaranya, Al-Maqasid Al-Hasanah tulisan Al-Sakhawi.

Sesungguhnya Allah memberi taufik kepada ulama' yang menjelaskan kepada orang ramai tentang yang asal dari yang luar, yang ditolak dari yang diterima. Hendaklah kita mengambil faedah dari usaha mereka ini.. Waallahu'alam..