Ahlan Wasahlan

Selamat Datang ke alam Insan Bernama Kekasih

Ahad, 22 Ogos 2010

Amalan Harian Dibulan Ramadhan

Bismillahirrahmannirrahim..

Assalamualaikum..

Bulan Ramadhan pastinya menjadi bulan untuk umat Islam memperbanyakkan ibadat dan amalan harian. Bukan sahaja pahala amalan dilipatgandakan, bahkan segala dosa-dosa kita yang lalu mudah untuk diampunkan Allah selama mana kita tidak melakukan dosa besar. Di sini saya ingin berkongsi beberapa amalan yang sepatutnya dilakukan oleh kita sebagai umat Islam,dibulan Ramadhan yang mulia ini, seiring dengan sunah Rasullullah SAW yang amat kita cintai.

1) Berniat dalam hati untuk berpuasa di malam hari(sebelum tidur).

2) Bersahur di akhir malam (yang terbaik adalah jaraknya dengan azan subuh selama bacaan 50 ayat al-Quran secara sederhana).
Nabi SAW bersabda :

“Perbezaan di antara puasa kami (umat Islam) dan puasa ahli kitab adalah makan sahur.” (Riwayat Muslim)

“Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada barakahnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Baginda SAW juga menyebutkan bahawa malaikat sentiasa meminta ampun bagi orang yang bersahur. (Riwayat Ahmad)

Selain makan tatkala itu adalah amat digalakkan kita untuk mendirikan Solat Sunat Tahajjud, Solat Sunat Witir dan beristifghar dan lain-lain amalan sebelum menunaikan Solat Subuh berjemaah (bagi lelaki). Adalah amat tidak digalakkan bagi seseorang yang bersahur dengan hanya makan di sekitar jam 12 malam sebelum tidur. Kebanyakan individu yang melakukan amalan ini sebenarnya amat merasa berat dan malas untuk bangun di tengah malam. Ia pada hakikatnya adalah tidak menepati sunnah yang diajarkan oleh baginda SAW.

3) Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tenang dan tidak tergesa-gesa.
Terdapat ramai ulama silam menyebut tentang kepentingan mendahulukan membaca Al-Quran di atas amalan sunat seperti menelaah kitab, membaca hadis dan lain-lain. Ia adalah salah satu amalan yang paling diambil berat oleh Nabi SAW ketika baginda membacanya bersama Malaikat Jibrail a.s. Hal ini disebut di dalam hadis al-Bukhari.

4) Memperbanyakkan doa semasa berpuasa.
Sepanjang waktu kita sedang menjalani ibadah puasa, ia adalah sentiasa merupakan waktu yang sesuai dan maqbul untuk kita berdoa, sebagaimana di tegaskan oleh Nabi SAW :-
Ertinya : “Tiga yang menjadi hak Allah untuk tidak menolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, orang yang dizalimi sehingga dibantu, dan orang bermusafir sehinggalah ia pulang” (Riwayat Al-Bazaar)

Sebuah hadis lain yang hampir sama maksudnya menyebutkan :-
Ertinya : “Tiga yang tidak ditolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, pemerintah yang adil dan doa orang yang dizalimi” (Riwayat At-Tirmizi)

5) Memperbanyakan doa ketika hampir berbuka.
Ini kerana tahap maqbul tatkala itu semakin hebat berdasarkan hadis Nabi SAW :-
Ertinya : “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala waktu berbukanya,adalah waktu doa yang tidak ditolak.” (Riwayat Ibn Majah)

6) Menyegerakan berbuka puasa selepas pasti masuk waktu maghrib.
Berdasarkan hadis Nabi SAW :-
Ertinya : “Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepanjang kamu menyegerakan berbuka” (Riwayat Al-Bukhari)

Berbuka juga perlu didahulukan sebelum menunaikan Solat Maghrib, malah jika pada hari tersebut tahap kelaparan kita agak luar biasa, lebih baik kita berbuka dan makan sekadar perlu agar kelaparan tidak mengganggu Solat Magrhib kita. Disebutkan bahawa tidaklah Nabi SAW menunaikan Solat Maghrib kecuali setelah berbuka walaupun hanya dengan segelas air.
(Abu Ya’la dan al-Bazzar)

7) Adalah digalakkan pula untuk berbuka dengan beberapa biji rutab (kurma basah) atau tamar (kurma kering) sebagai mengikuti sunnah, dan jika tiada keduanya mulakan dengan meneguk air. Ertinya : “Rasulullah SAW berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rutab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air”.

8.) Amat disunatkan untuk sedekah harta bagi mempersiapkan juadah berbuka untuk orang ramai terutamanya orang miskin.
Nabi SAW bersabda :-
Ertinya : “Barangsiapa yang memberikan juadah berbuka buat orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang sedikit pun” (Riwayat At-Tirmidzi)

Disebut dalam sebuah hadis lain, Ertinya : “Barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa (berbuka), Allah akan memberinya minum dari telagaku ini dengan satu minuman yang tidak akan haus sehinggalah ia memasuki syurga” (Riwayat Al-Baihaqi)

9) Menunaikan Solat Sunat Terawih pada malam hari secara berjemaah buat lelaki dan wanita atau boleh juga dilakukan secara bersendirian.
Ia berdasarkan hadis riwayat An-Nasaie yang sohih. Boleh juga untuk menunaikannya separuh di masjid dan separuh lagi di rumah, terutamanya bagi sesiapa yang ingin melengkapkan kepada 20 rakaat.

10) Memperbanyakkan bersiwak (iaitu menggunakan kayu sugi tanpa air dan ubat gigi). Ia juga sohih dari Nabi SAW dari Riwayat al-Bukhari.

11) Amaran bagi berbuka di siang Ramadhan tanpa uzur.
Selain itu, Nabi juga menyebut bahawa : “Barangsiapa yang berbuka tanpa uzur pada Bulan Ramadhan, maka ia tidak mampu menggantikan kerugian dari puasa yang ditinggalkan itu, walaupun ia berpuasa selama-lamanya” (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah)

Demikian antara amalan-amalan yang perlu kita kerjakan dibulan Ramadhan. Semoga segala kebaikan dapat kita perolehi ganjarannya di dunia dan akhirat. Insya Allah..

Ahad, 15 Ogos 2010

Istimna' (onani) Disiang Ramadhan

Oleh: Ustaz Abu Syu'aib (Mohd Khairil Anwar Abdul Latif,Pegawai penyelidik di Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis,Nov. 07 - Dis. 08)

Sumber:http://abusyuaib.blogspot.com/2008/09/adakah-istimna-membatalkan-puasa.html


Adakah Istimna’ membatalkan puasa
Pertamanya yang dimaksudkan dengan Istimna’ الاستمناء ialah perbuatan mengeluarkan mani selain jimak, dengan apa jua cara sama ada dengan tangan (onani) atau ketika sedang bersedap-sedapan dengan isteri atau sebagainya.

Ramai yang bertanya tentang persoalan ini “adakah terbatal puasa seseorang jika dia mengeluarkan maninya “al-Istimna’” dengan apa jua cara sama ada dengan mengeluarkannya dengan menggunakan tangan (onani) atau ketika bersama dengan isterinya atau yang seumpamanya”. Persoalan ini merupakan perkara yang diperselisihkan oleh para ulamak. Maka Jumhur atau majoriti ulamak berpendapat perbuatan mengeluarkan mani tersebut membatalkan puasa. Sementara sebahagian yang lain menyatakan sebaliknya iaitu tidak membatalkan puasa. Adapun jimak pada siang hari dibulan ramadhan, sepakat mengatakan hukumnya haram dan dikenakan kaffarah dengan nas.

Kaedah

Jika ditinjau dari sudut yang disepakati oleh para ulamak, maka kesemua mereka bersetuju di atas: الأصل عدم الإفطار yang membawa pengertian, kaedah asalnya seseorang yang berpuasa itu tidak terbatal puasanya dengan sesuatu tindakan kecuali jika adanya dalil yang menyatakan bahawa tindakan tersebut membatalkan puasanya. Oleh itu sesiapa yang ingin menyatakan tindakan tertentu apabila dilakukan oleh seorang yang berpuasa akan menyebabkan puasanya terbatal perlu membawakan dalil dari al-Quran atau sunnah bagi membuktikan perkara tersebut. Bertitik-tolak daripada kaedah ini, maka perbuatan istimna’ dengan apa jua cara sekalipun tidak membatalkan puasa serta tidak perlu diganti (Qada’) di sisi sebahagian ulamak.

Perbincangan ulamak terhadap dalil yang mengatakan batal

Oleh kerana kaedah asal menyatakan sesuatu itu tidak membatalkan puasa seseorang kecuali dengan dalil, maka para ulamak yang berpendapat terbatalnya puasa dengan istimna’ pada siang hari ramadhan membawakan beberapa dalil bagi menyokong pendapat mereka, antara dalilnya ialah dengan menggunakan kaedah Qias. Maka diqiaskan perbuatan istimna’ itu dengan perbuatan jimak pada siang hari di bulan ramadhan.

Hujah ini dijawab oleh syeikh al-Albani ketika memberi komentar beliau terhadap apa yang ditulis oleh syeikh Sayyid Sabiq di dalam fiqh al-sunnah:

الإستمناء (إخراج المني) سواء أكان سببه تقبيل الرجل لزوجته أو ضمها إليه، أو كان باليد، فهذا يبطل الصوم ويوجب القضاء.

Mengeluarkan mani sama ada disebabkan seorang lelaki mencium isterinya, atau rapatnya (isteri) kepadanya atau dengan mengunakan tangan, maka ini membatalkan puasa dan wajib menggantikannya.

Syeikh al-Albani berkata:

لا دليل على الإبطال بذلك وإلحاقه بالجماع غير ظاهر، ولذلك قال الصنعاني: الأظهر أنه لا قضاء ولا كفارة إلا على من جامع، وإلحاق غير المجامع به بعيد. وإليه مال الشوكاني، وهو مذهب ابن حزم.

Tiada dalil batalnya (puasa) dengan perkara-perkara yang disebutkan dan mengqiaskannya dengan perbuatan jimak adalah suatu yang tidak jelas. Oleh sebab itu berkata al-Son’ani: yang jelasnya, perbuatan tersebut tiada ganti (qada’) dan tiada kaffarah kecuali ke atas mereka yang melakukan jimak, dan mengqiaskan dengan selain jimak maka ianya tersasar jauh. Al-Syaukani juga cenderung kepada pendapat ini dan ianya merupakan mazhab Ibn Hazm. (rujuk Tamamul Minnah, hlm. 418. Perkataan Imam al-Son’ani boleh dirujuk di dalam Subulus Salam, jilid 2, hlm.644)

Imam Ibn Hazm menyatakan di dalam kitabnya:

وأما الإستمناء فإنه لم يأتي نص بأنه ينقض الصوم

Adapun Istimna’ tidak ada nas yang menyatakan ianya membatalkan puasa. (rujuk al-Muhalla, jilid 6, hlm. 205)

Syeikh al-Albani menyatakan lagi bahawa mengqiaskan perbuatan istimna’ dengan jimak merupakan قياس مع الفارق iaitu Qias dengan sesuatu yang berbeza sama sekali. Ini dapat dilihat kepada sebahagian mereka yang berpendapat istimna’ membatalkan puasa tetapi dalam masa yang sama mereka tidak menyatakan wajibnya kaffarah seperti kaffarah mereka yang melakukan jimak pada siang hari ramadhan. Hujah mereka ialah kerana jimak itu lebih berat daripada istimna’, maka kembali kepada hukum asalnya tiada kaffarah.

Syeikh al-Albani menjawab: sekiranya begitu maka kami juga katakan hukum asal ialah sesuatu itu tidak membatalkan puasa, jadi perbuatan jimak itu lebih berat daripada istimna’, maka tidaklah boleh diqiaskan istimna’ itu dengan jimak, perhatikan dan fikirkanlah. (Tamamul Minnah, hlm. 418-419)

Sekiranya hendak menggunakan Qias di dalam masalah ini, maka hukum akhirnya juga mesti sama dengan perkara atau benda yang diqiaskan kepadanya.

Sebahagian ulamak menyatakan batalnya puasa dengan istimna’ berdalilkan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari, Allah menyatakan hal keadaan mereka yang berpuasa:

يَتْرُكُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي الصِّيَامُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ

Dia meninggalkan makanannya, minumannya dan syahwatnya disebabkan kerana Aku, Puasa itu untuk Ku dan Aku yang akan memberi ganjaran dengannya. (al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menjelaskan keadaan mereka yang berpuasa, iaitu mereka meninggalkan makan dan minum serta syahwatnya. Jika sekiranya seseorang yang berpuasa itu makan, minum serta tidak menahan syahwatnya maka batallah puasanya. Oleh yang demikian istimna’ itu syahwat dan keluarnya mani itu syahwat. Maka jika melakukan istimna’, mengeluarkan mani dengan tangan atau ketika melihat isteri atau dengan apa cara sekalipun menyebabkan puasanya terbatal.

Tetapi sekiranya diterima pakai hujah di atas maka bagaimanakah hadis-hadis baginda s.a.w. yang menyatakan baginda mencium dan menyentuh isterinya pada siang hari di bulan ramadhan? Adakah itu tidak dikira syahwat?

Aisyah r.ha menyatakan:

كان النبي صلى الله عليه وسلم يُقَبِّل ويباشر وهو صائم، وكان أملككم لاربه

Adalah Nabi s.a.w. mencium dan menyentuh (isterinya) sedang baginda berpuasa, dan baginda ialah orang yang paling mampu mengawal kemaluannya. (al-Bukhari dan Muslim)

mengawal kemaluan maksudnya dari melakukan jimak.

Perkataan يُبَاشِر-الْمُبَاشَرَة kebiasaannya digunakan untuk perkataan jimak, di dalam hadis ini ia bermaksud sesuatu yang lebih dari hanya sekadar mencium. Juga boleh bermaksud menyentuh atau meraba dengan tangan.

Maka Al-Imam Ibn Hajar di dalam fathul bari menyatakan yang dimaksudkan dengan syahwat di dalam hadis “Dia meninggalkan makanannya, minumannya dan syahwatnya disebabkan kerana Aku” ialah syahwat jimak.

Perhatian

Disebutkan sebelum ini istimna’ iaitu mengeluarkan mani dengan tangan atau onani bukan bermaksud perbuatan itu dibenarkan tanpa ada perincian tetapi ianya hanya menjelaskan sama ada membatalkan puasa atau tidak.

Adapun pendapat yang benar di dalam masalah onani ialah pendapat yang mengharamkannya berdasarkan firman Allah Ta’ala di dalam surah al-Mukminun ayat 5-7:

]وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ[ (5) ]إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ[ (6)] فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ[ (7)


Maksudnya:

Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya. Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka tiada tercela, barangsiapa mencari cara sebaliknya, mereka ialah orang-orang yang melampaui batas.

Maka perbuatan onani termasuk di dalam maksud ayat barangsiapa yang mencari jalan yang lain daripada jalan yang telah dibenarkan. Dan jalan yang dibenarkan oleh syarak ialah dengan isteri ataupun hamba-hamba yang dimiliki tetapi pada zaman ini hamba sudah tiada lagi.

Kesimpulan

Di sana terdapat ulamak yang mengatakan istimna’ dengan erti kata menggunakan tangan atau onani membatalkan puasa dan juga yang berpendapat sebaliknya iaitu tidak membatalkan puasa. Tetapi tidak diragukan lagi ianya haram.

Adapun istimna mengeluarkan mani sewaktu bersama dengan isteri selagi mana tidak melakukan jimak maka setelah melihat kepada pendapat para ulamak ianya tidak membatalkan puasa.

Walaupun demikian kedua-dua belah pihak tidak boleh memaksa orang lain untuk menerima pendapatnya. Perlu diingat yang penting seseorang itu tidak mengikut hawa nafsu. Selagi mana seseorang itu merujuk dan bergantung kepada pendapat ulamak serta cuba sedaya upaya untuk mengetahui kebenaran dengan menjauhkan diri dari sifat ta’asub dan dari mengikut hawa nafsu maka insya Allah dia akan berjaya dengan izin Allah s.w.t.

Wallahu Ta’ala A’lam

Sabtu, 14 Ogos 2010

Ramadhan dan Pendustaan Tentangnya

Bismillahhirrahmanirrahim..

Bila masuk sahaja bulan Ramadhan,umat Islam akan berebut-rebut untuk melakukan ibadah. Pada waktu malam masjid-masjid dan surau-surau dipenuhi mereka yang ingin melakukan solat terawih. Ada yang benar-benar ikhlas semata-mata kerana Allah, namun tak kurang juga, pasti ada yang mengharapkan balasan seperti yang terdapat di dalam hadis-hadis yang sering dibacakan apabila masuk bulan Ramadhan. Namun kita semua harus sedar terdapat banyak hadis-hadis palsu yang mempengaruhi minda masyarakat kita.

Ramai muslim akan cuba untuk berkongsi ilmu dan mencetuskan kesedaran kepada rakannya yang lain mengenai Ramadhan. Ada yang memberikan ceramah, tazkirah, menulis artikel, dan tidak kurang juga yang akan memanjangkan (forward) artikel-artikel berkaitan. Agak malang, sebahagian mereka telah terlibat di dalam pendustaan tanpa sedar. Pendustaan yang kerap berlaku ialah mereka menyandarkan kata-kata membabitkan fadhilat puasa dan Ramadhan kepada Nabi Muhammad SAW, sedangkan nabi sendiri tidak pernah mengungkap kata-kata berkenaan.

Ini bukan untuk mencetuskan polemik salaf atau khalaf, tetapi hanyalah usaha kecil untuk menyedarkan umat Islam mengenai implikasi sekiranya kita berbohong atas nama nabi, seperti yang termaktub di dalam hadis mutawatir yang bermaksud, “Barangsiapa yang berdusta kepadaku dengan sengaja, maka dia telah menempah tempatnya di neraka”.

Mengulas hadis ini, Imam al-Nawawi berkata, “Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu’ atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu’. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu’ serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini.”

Antara pendustaan atas nama nabi Muhammad yang berlaku menjelang Ramadhan ialah seperti berikut:

1. Kononnya Saidina Ali meriwayatkan hadis Rasulullah SAW mengenai fadhilat solat tarawih mengikut malam, contohnya malam pertama akan jadi seperti bayi yang baru dilahirkan, malam ke-7 seolah-olah dapat bertemu dengan nabi Musa dan membantu baginda menentang Fir’aun, dan malam ke-24 akan dimaqbulkan 24 doa. Hadis tidak pernah direkod di dalam mana-mana kitab himpunan hadis muktabar. Maknanya juga menepati ciri-ciri hadis palsu (maudhu’).

2. Hadis Rejab bulan Allah, Sha’ban bulan nabi dan Ramadhan bulan umat nabi. Hadis ini direka oleh Ibn Jahdam, seorang ahli tasauf yang turut mencipta beberapa hadis maudhu’ lain bagi tujuan galakan kepada umat Islam.

3. Hadith yang menyatakan Ramadhan itu awalnya rahmah, pertengahannya ada maghfirah (pengampunan) dan akhirnya ada pembebasan daripada api neraka. Teks hadis ini dikatakan merupakan sebahagian daripada khutbah nabi sebelum Ramadhan, antaranya turut mengandungi fadhilat memberi iftar kepada orang lain. Menurut Al-Albani, hadith ini termasuk di dalam hadis dho’if dari sudut periwayat dan periwayatannya.

4. Hadis yang menyatakan berpuasalah kamu, nescaya kamu akan sihat. Teks penuh hadis ini ialah “berperanglah kalian, nescaya kalian akan mendapatkan ghonimah (harta rampasan perang), puasalah kalian nescaya kalian sihat, bermusafirlah kalian nescaya kalian bercukupan”. Hadis ini juga terdiri daripada hadith-hadith yang dho’if dari sudut periwayat dan periwayatannya.

Justeru, apa sikap kita apabila didatangi dengan hadis-hadis di atas? Walaupun mungkin ada makna di sebalik hadis di atas yang betul, seperti hadis puasalah, nescaya kamu akan sihat, akan tetapi Islam amat menitikberatkan keabsahan sesebuah hadith. Jangan sama sekali kita menyandarkan sesuatu yang kurang pasti sebagai kata-kata Rasulullah, kerana itu adalah pendustaan tanpa sedar. Sebaik-baiknya kita perlu mengelak daripada menulis, berceramah atau mem’forward’ artikel yang mengandungi hadith-hadith di atas. Akan tetapi ada juga sebahagian ulamak yang tetap membaca beberapa hadis lemah di atas, tetapi mereka menyatakan status hadith tersebut sebagai hadis dho’if.

Semoga kita mampu meningkatkan kualiti ibadah Ramadhan kita dengan memurnikan ilmu yang berkaitan dengannya. Allahua'lam.

Selasa, 10 Ogos 2010

Selamat Datang Ramadhan Yang Aku Rindui

Bismillahirrahmanirrahim....

Assalamualaikum...

Alhamdulillah, baru je melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah. Rasa bahgia sangat-sangat bila selesai menunaikan solat Maghrib. Dari tengah hari tadi aku rasa lain sangat pada diri aku. Bila petang menjelang aku rasa sedih, sebak dan hiba.. Hati aku rasa macam terlalu lain untuk menyambut Ramadhan kalini. Mungkin kerana terlalu banyak dosa dan maksiat yang aku lakukan sepanjang tahun ni. Atau mungkin aku memikirkan bagaimanakah Allah akan menerima aku di sana nanti. Dan kadang-kadang aku merasa takut bila hati aku berkata-kata, sudah tidak banyak Ramadhan yang akan aku lalui lepas ni. Aku mula berfikir apakah itu cuma mainan perasaan aku atau Allah memang memberi aku petunjuk untuk bersedia menyahut seruan-Nya. Yang pasti aku merasa terlalu sedih dan hiba menanti tibanya waktu maghrib.

Sedang aku berfikir dan termenung sendiri, azan Mahgrib pun berkumandang. Tanpa aku sedar air mata aku mengalir. Kalini bukan kerana aku sedih, tapi aku rasa terlalu gembira. Alhamdulillah, dapat juga aku sampai pada Ramadhan tahun ini.. Aku pun segera mandi dan menyiapkan diri. Aku rasa begitu lega dan gembira sekarang. Bulan yang aku tunggu dan rindui selalu akhirnya datang padaku. Betapa bahgianya aku, Allah jua Yang Maha Tahu..

Aku menulis isi hatiku ini bukan untuk tatapan orang lain. Tak pernah terlintas difikiran aku agar ada yang membaca tulisanku. Aku cuma melakukan untuk diriku sendiri, untuk kepuasanku sendiri. Cuma jauh di sudut aku agar aku dapat berdamping dengan orang-orang yang soleh dan solehah, seterusnya membantu aku menjadi seorang yang soleh juga. Aku cuma manusia biasa, kadang-kadang ada kawan-kawan atau orang sekeliling yang tak suka pada kita serta mencaci maki kita. Begitu juga sebaliknya,kadang-kadang ada kawan-kawan dan orang yang memuji akhlak,tingkahlaku dan perlakuan kita. Terpulangla kepada pandangan masing-masing. Yang aku tau, aku cuma manusia biasa, dan aku adalah aku. Aku sangat-sangat berharap Ramadhan tahun ini lebih baik buatku. Aku ingin berusaha menjadi yang terbaik, untuk diriku dan untuk orang-orang yang memerlukan aku. Mudah-mudahan aku beroleh kejayaan di dunia dan akhirat. Insya Allah........

Ahad, 8 Ogos 2010

Beratnya Dosaku, Ringannya Amalanku

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum,
Petang 27 Syaaban 1431H, cuaca begitu redup dan nyaman sekali. Sungguh indah dan bertuah sekali kerana aku dapat hidup di dunia ini. Bila merenungkan keindahan dan kebesaran Allah, memang rasa kagum tak kan luput dari dalam diri. Kadang-kadang aku terfikir jua, apalah nilainya aku yang kecil dan hina ni untuk hidup di muka bumi Allah ni. Berapa banyak dosa dan maksiat yang aku lakukan kepada Allah dan sesama makhluk.. Aku pun tak pernah sedar dan tak pernah tau pun waktu bila aku melakukan dosa.. Bila semua dah berlaku barulah rasa bersalah akan menghantui diri.. Itulah lumrah kita sebagai manusia.. Rasa seolah-olah terlalu berat untuk melakukan semua yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang.. Sedangkan Allah tak pernah pun mengharapkan apa-apa balasan dari kita semua..

Dari kecil aku dihantar ke sekolah agama, belajar ilmu dunia dan akhirat, arwah datukku seorang imam masjid, ibu dan bapa saudaraku adalah ustazah dan ustaz, tapi aku berfikir lagi, apalah erti semua tu bagi aku.. Iman memang tak kan boleh diwarisi, ilmu yang boleh diwarisi pula pasti akan berkurang dari tahun ke tahun,generasi ke generasi yang lain. Ohh..!! Bodohnya aku, kenapa aku boleh jadi sebegitu jahil. Sudah tentu aku perlu berusaha sendiri untuk mencari keimanan..

Aku perhatikan orang-orang disekilingku, aku tengok ada yang baik, ada yang sederhana baik, tak ketinggalan ada juga yang jahat. Ke mana pun tempat yang aku pergi buat masa ni menunjukkan perkara yang sama. Dari aku sekolah sampai dah masuk universiti pun aku masih nampak perkara yang sama. Kat sekolah dulu mungkin ada yang sembayang dan menutup aurat kerana peraturan sekolah semata-mata. Tandanya dah ada, lepas je masuk universiti, pelajar lelaki peluk perempuan, masuk kelab malam. Yang perempuan pulak hilang tudung, nampak rambut terburai dah macam pontianak pun ada.. Bukan setakat tu je, ada tu nampak segala lekuk dan bentuk. Mungkin apa yang aku tulis ni macam kurang ajar dan tak sopan jer. Tapi aku cuma nak sedarkan diri aku dan sape2 yang baca artikel aku ni..

Aku pun manusia biasa, sama macam kalian semua. Bahkan mungkin dosa aku lebih banyak tanpa aku sedari. Sekarang dah hampir sangat dengan bulan Ramadhan, barulah semua orang akan terfikir balik untuk beribadat. Macamlah bulan Ramadhan je bulan untuk beribadat. Masya Allah!! Teruknya kita semua ni!!

Rasa sesak dan sebak pulak dada bila ingatkan semua dosa dan kesalahan yang aku dah lakukan sepanjang tahun ni. Tiba-tiba aku rasa amalan aku terlalu sedikit dan tak mungkin mampu untuk menampung dosa-dosa aku. Tu pun belum termasuk dosa-dosa yang aku tak sedar. Kalaulah ditakdirkan Tuhan aku tak sempat sampai ke Ramadhan, mungkin aku pun terus lupa dan alpa. Tu lah pulak kebaikan Ramadhan ni. Aku dah tak sabar nak tunggu Ramadhan datang. Sebab aku akan beroleh kemenangan yang dijanjikan.. Insya Allah. Mudah-mudahan berhasil.

Aku pun punya harapan untuk tahun ini dan tahun-tahun yang seterusnya dalam hidup aku. Aku nak dapatkan balik "al-Quran" yang dah aku hilangkan. Mungkin ni antara kesilapan terbesar dalam hidup aku iaitu mengabaikan tugas aku sebagai "penjaga" al-Quran.. Rasa seram pulak bila teringatkan azab yang menanti.. Tapi aku yakin, Tuhan akan permudahkan jalan kalau aku betul-betul ikhlas.. Cuma itulah yang susah sebenarnya, nak mencari keikhlasan.. Mudah-mudahan Tuhan membantu aku, dalam membantu agamaku. Insya Allah.

Ni jela yang aku mampu tulis untuk petang ni. Hari pun dah hampir senja. Ada tanggungjawab lain yang menanti. Minta maaf kalau ada yang terluka.
Assalamualaikum..