Ahlan Wasahlan

Selamat Datang ke alam Insan Bernama Kekasih

Sabtu, 12 Februari 2011

KEAJAIBAN HATI

Hati ataupun dalam bahasa Arab dikenali sebagi Qalbun merupakan pusat kawalan segala perlakuan manusia. Manusia melakukan maksiat berpunca daripada hati yang kotor kerana dihinggapi berbagai-bagai penyakit yang memudaratkan. Ramai orang gagal mengawal diri lantaran hati tidak bertindak sebagai pembimbing kerana manusia suka mengikut bisikan nafsu dan jarang-jarang menggunakan pertimbangan akal sebelum melakukan sesuatu.

Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Syu’ara ayat ke 88-89, maksudnya :

"Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, "Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik);
Ibnul Qayyim menjelaskan dalam tafsirnya, dari Ibn Abbas r.a maksud hati yang selamat sejahtera adalah individu yang mempunyai aqidah yang mantap dalam diri dan melakukan ibadah selari dengan sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

Rasulullah SAW: “ Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging, jika sekiranya baik daging itu, maka baiklah seluruh diri manusia itu. Jika sekiranya buruk daging itu, maka buruklah seluruh diri manusia itu. Ketahuilah, bahawa ia adalah hati.”( Riwayat al-Bukhari dan Muslim )

Justeru apabila hamba berkulit hitam yang bernama Luqman al-Hakim diperintahkan oleh tuannyauntuk membawa bahagian yang paling baik dari seekor kambing yang telah disembelih maka Luqman membawakan hati dan lidah.Demikian apabila diminta membawa anggota yang paling buruk maka Luqman masih lagi membawakan bahagian yang sama.Rasionalnya dari tindakan itu adalah lelaki hitam yang diberikan ilham ini ingin memberitahu manusia kepentingan penjagaan hati agar ia selari dengan kehendak Allah.Apabila ia selari dengan kehendak tuhannya, maka segala tindak tanduknya adalah hasil dari bisikan Allah yang dicampakkan ke dalam hatinya itu.Salah satu dari biasan hati yang bersih yang mendapat panduan Allah adalah lidah yang mengungkapkan kebenaran.
Antara riyadah atau latihan yang sering dikemukakan oleh para ulama akhlak untuk membimbing hati kea rah ketaqwaan ialah kita hendaklah sentiasa melatihnya agar sentiasa sukakan kebaikan. Jika kita telah melakukan sesuatu perbuatan yang berupa maksiat, hati itu mestilah melalui proses mengubat dan mendidik hati semula. Kerana hakikatnya menurut hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim dari Huzaifah apabila melakukan maksiat, hati akan ditimpa titik hitam.Jadi ia Hati perlu dibebaskan semula dari kekotoran maksiat yang berbekas di padanya itu.
Hati yang baik dan bersih akan memberi arahan kepada anggota tubuh badan yang lain agar sentiasa berbuat kebaikan dan meninggalkan segala keburukan.
Bagi mengubat dan menghidupkan hati, hendaklah jauhkan hati daripada segala racun yang boleh merosakkan dan membunuh hati secara senyap tanpa disedari.

Bagaimana hendak mengubati hati sedangkan ia tidak dapat dilihat? Hati yang sakit akan mati jika tidak diubati. Untuk mengubat hati, hendaklah sentiasa berbaik sangka sesama manusia. Orang yang berbaik sangka akan mendapat pahala kerana terang hatinya dan tidak dicemari dengan sifat yang keji. Tidak perlu bersusah payah memikirkan hal yang tidak berfaedah dan tidak pasti kebenarannya. Selain itu, buanglah segala sifat hasad dengki yang bersarang dalam hati. Hati juga akan terubat dengan mengamalkan senyuman agar yang sentiasa terpancar di wajah kita. Wajah orang yang tersenyum akan kelihatan ceria, tenang dan segar sentiasa.Dalam hadis yg sahih Nabi saw bersabda : Janganlah kamu memperlecehkan amal salih walaupun yg mampu engkau lakukan adalah bertemu dgn sahabatmu dgn wajah yg ceria.

Di samping itu, kita juga hendaklah membuang segala sifat sombong, ujub, riyak, takabbur dan bongkak keranasifat ini bukan sahaja dibenci oleh Allah, malah seluruh manusia. Hiasilah diri dengan sifat pemaaf untuk mengelakkan persengketaan, kerana setiap manusia itu tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dalam hidup. Sifat ikhlas hanya mengharapkan keredaan Allah mampu membersihkan hati kita daripada sifat mazmumah yang lain. Muslim perlu memahami bahwa sebenarnya kebaikan diri & mahmudah hanya akan dapat bertahta dalam diri selepas membuang perangai2 buruk yg dikenali sebagai mazmumah itu.

Hati juga dapat dididik ke arah kebaikan apabila kita membiasakan diri menghadiri majlis ilmu, kerana orang yang sentiasa menghadirinya akan mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah melalui barisan malaikat yang membanjiri majlis ilmu untuk mengampunkan dosa-dosa mereka.

Selain itu, menurut Ibrahim al-Khawas dalam sebuah nasihatnya, penyucian hati juga akan berlaku apabila kita sentiasa berzikir mengingati Allah, membaca al-Quran dan melakukan tahajjud pada malam , bergaul dengan orang-orang yang salih dan mengamalkan puasa sunat secara istiqamah.

Beruntunglah bagi sesiapa yang berjaya memiliki hati yang berunsur baik kerana dia bukan sahaja akan menjadi orang yang taat dan beriman malahan mempunyai akhlak yang mulia.Selalulah berdoa seperti yang dianjurkan oleh Nabi saw, maksudnya : Wahai Tuhanku kurniakanlah kepadaku kesucian hati..sesungguhnya Engkaulah yg menyucikan..Engkaulah Pemimpinku ...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan