Ahlan Wasahlan

Selamat Datang ke alam Insan Bernama Kekasih

Rabu, 13 April 2011

Umar Al-Khattab

Nama sebenar Umar Al-Khattab adalah Umar bin Al-Khattab bin Nufail bin Abdul Uzza bin Ribaah Bin Abdillah bin Qarth bin Razaah bin Adi bin Kaab. Beliau berketurunan Arab Quraisy dari kabilah Bani Adi. Umar Al-Khattab terkenal dengan sikap bengisnya. Beliau terkenal kejam dan dilantik sebagai duta kaumnya untuk mengadakan perundingan antara kabilah yang bermusuhan. Pengikut dari kabilah lain juga amat takut pada Umar. Malah,sebelum memeluk Islam, Umar pernah menanam anak perempuannya hidup-hidup. Ini adalah pengakuan beliau sendiri kepada para sahabat setelah beliau memeluk Islam.


Nabi berdoa supaya Islam dikuatkan oleh Umar.

Saidina Umar memeluk Islam pada tahun keenam kenabian Rasulullah SAW. Pada waktu itu beliau berumur 27 tahun. Diriwayatkan hati Umar mula bergoncang untuk menerima Islam setelah mendengar adiknya,Fatimah membaca Al-Quran,Surah Toha ayat 1-9 (sesetengah riwayat mengatakan Surah Toha ayat 1-5). Walaubagaimanapun, tindakan Umar memeluk Islam benar-benar telah menggemparkan masyarakat Quraisy. Ini disebabkan sebelumnya Umar adalah antara penentang kuat kepada ajaran Islam, bersama dengan Abu Jahal yang memang tidak dinafikan kebenciannya pada Islam. Namun perancangan Allah mengatasi segalanya. Berkat doa Rasulullah SAW, Umar telah diberikan hidayah untuk menerima Islam.
Rasulullah SAW berdoa ; "Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar Al-Khatab atau Abu Jahal b. Hisyam".( HR : At-Thabarani)
Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh At-Thabarani bahawa Rasulullah SAW juga pernah berdoa : "Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar Al-Khattab".
Sebuah hadis dari Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah SAW berkata : "Apabila Umar memeluk Islam, Jibril pun datang dan berkata : "Ya Muhammad, sesungguhnya seluruh makhluk langit bergembira dengan islamnya Umar".
Setelah memeluk Islam, Rasulullah SAW telah mengelarnya sebagai Al-Faruq kerana dapat membezakan di antara perkara yang benar dan bathil. Ketika ditanya oleh para sahabat bagaimana dia mendapat gelaran tersebut, Saidina Umar menjawab : "Pada suatu hari, Aku bertanya kepada Rasulullah SAW : "Ya Rasulullah SAW, adakah kita dalam kebenaran ?"
Jawab Rasulullah SAW : "Benar"
Aku berkata lagi : "Kenapakah kita beribadah secara sembunyi ?"
Kemudian kami masuk ke Masjidil Haram membuat dua saf, satu aku dan satu lagi Saidina Hamzah. Maka semua orang kafir Quraisy melihat ke arah kami berdua dengan perasaan yang sangat marah yang tidak pernah mereka terjadi sebelum ini, lalu Rasulullah SAW mengelarkan aku Al-Faruq.
Dengan islamnya Umar, maka umat Islam yang sebelum itu sentiasa ketakutan menjadi kuat. Mereka telah berani solat secara terang-terangan di Baitullah khususnya setelah peristiwa di atas. Di samping itu juga, orang Quraisy juga tidak berani menganggu orang Islam yang sedang beribadah kerana takut kepada Umar.


Umar mencabar kafir Quraisy menghalangnya dari berhijrah ke Madinah.

Ketika perintah Allah supaya umat Islam yang ketika itu dipulaukan oleh penduduk kafir Quraisy berhijrah ke Yathrib, ramai dikalangan umat Islam takut untuk berhijrah. Ada yang tidak mahu meninggalkan kampung halaman masing-masing. Ada yang tidak sanggup berpisah dengan sanak saudara. Dan paling ramai kerana takut dibunuh kafir Quraisy yang menghalang disetiap sempadan negeri Makkah. Jika ada umat Islam yang keluar pasti akan dibunuh. Rasulullah SAW dan Abu Bakar sendiri berhijrah secara sembunyi. Namun keberanian Umar Al-Khattab mengatasi segalanya. Beliau dengan nekad akan menyahut seruan Nabi SAW untuk berhijrah ke Yathrib.
Setelah saidina Umar membuat keputusan untuk berhijrah, beliau mengambil sebilah pedang disandang di sisi pinggangnya. Kemudian dicapainya busar panah lalu disangkut dibahunya, sebatang anak panah tergenggam ditangannya dan melangkahkan kaki menuju ke Kaabah. Ketika itu tokoh-tokoh Quraisy sedang bersantai di sisi Kaabah terpaku menyaksikan kehadiran Umar dengan keadaan sedemikian. Mereka tidak berani mendekati,apalagi untuk bertanya sesuatu kepada Umar.

Saidina Umar melakukan tawaf tujuh kali dengan penuh semangat tetapi tenang, tanpa menghiraukan tokoh-tokoh kafir Quraisy yang memerhatikannya. Sebaik selesai melakukan tawaf, beliau menuju ke Makam Ibrahim dan mendirikan solat. Selesai solat, Umar berdiri di sisi Makam Ibrahim sambil mengeluarkan kata-kata yang keras dan pedas terhadap puak kafir Quraisy. kata Umar: "Sesungguhnya Allah SWT tidak akan membinasakan wajah manusia di dunia ini, kecuali wajah puak-puak jahannam yang memusuhi agama Allah. Barangsiapa yang sanggup menjadikan ibunya keseorangan disebabkan kematian anak, meletakkan anak-anak mereka menjadi yatim piatu lantaran kematian bapa, sanggup menjadikan isteri kesayangannya menjadi balu kerana kematian suami, marilah kita beradu senjata di sebalik bukit ini”.

Cabaran Saidina Umar terhadap tokoh-tokoh Quraisy yang menyaksikan kehadiran Umar dengan pedang terhunus itu, ternyata menimbulkan kesan gerun di dalam hati mereka. Pertama kali mereka mendengar cabaran yang begitu hebat dari Umar, mereka terpegun tanpa seorangpun yang berani menyahut cabaran Umar berlawan senjata.

Dari sudut psikologi, cara Umar mencabar puak Quraisy dengan gaya seorang pahlawan yang bersedia untuk mati, menjadikan puak Quraisy lemah semangat. Mereka membisu tanpa reaksi, sekalipun Umar mengutuk mereka sebagai puak yang bakal dibinasakan Allah SWT. Dalam keadaan puak Quraisy lemah semangat, Umar mengajak mereka beradu senjata.

Saidina Ali r.a. yang turut mendengar kata-kata Umar itu berkata: Sesudah itu Umar melangkahkan kaki meninggalkan kota Makkah dengan tenang, tanpa dijejaki oleh puak-puak Quraisy. Bagaimanapun peristiwa itu memberi seribu rahmat kepada kaum muslimin yang letih lesu, dari kalangan orang-orang tua, orang-orang sakit yang tidak terdaya meninggalkan kota Makkah tanpa teman. Mereka semua mengambil peluang untuk berhijrah ke Madinah bersama Umar Al-Khattab, dengan aman tanpa sebarang gangguan.


Umar menjadi khalifah

Pada tahun ke 13 Hijrah bersamaan 634 Masihi, Saidina Umar Al-Khattab telah dilantik menjadi khalifah Islam yang kedua. Pelantikannya telah dicadangkan sendiri oleh Abu Bakar sebelum meninggal dunia. Para sahabat yang lain mengikut cadangan Abu Bakar kerana Umar sememangnya pilihan yang tepat untuk menjadi pemimpin Islam. Islam begitu gemilang di bawah pemerintahan Umar. Jajahan takluk Islam juga begitu luas sehingga ke Eropah dan melebihi separuh dari dunia.
Selama pemerintahan Umar, kekuasaan Islam tumbuh dengan sangat pesat. Islam mengambil alih Mesopotamia dan sebahagian Parsi dari tangan dinasti Sassanid serta mengambil alih Mesir, Palestin, Syria, Afrika Utara dan Armenia dari pemerintahan Romawi (Byzantium).
Sejarah mencatat banyak pertempuran besar yang menjadi awal penaklukan ini. Pada pertempuran Yarmuk, yang terjadi di Damaskus pada tahun 636 M, 20 ribu pasukan Islam mengalahkan pasukan Romawi yang mencapai 70 ribu dan mengakhiri kekuasaan Romawi di Asia Kecil bahagian selatan. Pasukan Islam lainnya dalam jumlah kecil mendapatkan kemenangan atas pasukan Parsi dalam jumlah yang lebih besar pada pertempuran Qadisiyyah (tahun 636M), di sungai Eufrat. Pada pertempuran itu, jeneral pasukan Islam yakni Sa`ad bin Abi Waqqas mengalahkan pasukan Sassanid dan berhasil membunuh jeneral Parsi yang terkenal, Rustam Farrukhzad.
Pada tahun 637M, setelah pengepungan yang lama terhadap Yerusalem, pasukan Islam akhirnya mengambil alih kota tersebut. Saidina Umar diberikan kunci untuk memasuki kota oleh pendeta Sophronius dan diundang untuk solat di dalam gereja (Church of the Holy Sepulchre). Umar memilih untuk solat ditempat lain agar tidak membahayakan gereja tersebut. 55 tahun kemudian, Masjid Umar didirikan ditempat beliau solat.

Pada zaman pemerintahan Umar Al-Khattab. Jabatan-jabatan penting telah ditubuhkan. Beliau juga telah mewajibkan zakat ke atas kuda. Kalendar Islam telah diperkenalkan oleh Umar mengikut Tahun Hijrah. Malah pengumpulan nasakh Al-Quran juga bermula pada zaman ini,kerana Umar menyedari semakin ramai hafiz yang gugur syahid di medan perang. Begitu banyak kemajuan yang berlaku pada zaman pemerintahan Saidina Umar.


Saidina Umar, berjalan di malam hari untuk mengetahui derita rakyatnya.

Pada suatu malam, ketika Umar berjalan melihat keadaan rakyatnya bersama seorang pembantu melalui lorong-lorong kota Madinah, mereka bertemu dengan seorang wanita dan anak-anaknya duduk mengelilingi periuk besar di atas api. Anak-anak itu mengeluh kelaparan. Lalu Khalifah Umar mendekati keluarga itu bertanya kepada ibu itu apa yang terjadi, maka ibu itu menjawab anak-anaknya kelaparan kerana sudah 2 hari mereka tidak makan, yang dimasaknya hanyalah air dan batu supaya anak-anaknya boleh menunggu hingga tertidur. Umar bertanya kepada ibu tadi kenapa tidak diberitahu kepada Khalifah Umar?. Maka berkatalah ibu tadi: “Seharusnya dialah yang tahu keadaan kami, dia punya kuda dan juga ribuan tentera, seharusnya dia tidak boleh tidur nyenyak dirumahnya sementara rakyatnya seperti kami ini kelaparan dan kedinginan”, tanpa dia mengetahui orang yang ada dihadapannya adalah Khalifah Umar.

Mendengar jawapan itu Saidina Umar terus ke gudang menyimpan gandum dan mengambil satu karung gandum bersama minyak samin. Saidina Umar mengendong sendiri gandum dan minyak itu walaupun pembantunya melarang dan ingin membantunya membawa barangan tersebut. Umar berkata: "Apakah kamu ingin memikul dosaku di hari kiamat kelak?" , kemudian Umar ke tempat wanita itu membawa barangan tersebut dan menghidupkan api serta memasak gandum yang dibawa bersamanya. Kemudian Saidina Umar r.a meminta perempuan tersebut mengejut anak-anak nya untuk makan makanan yang telah dimasaknya,sebelum berlalu Saidina Umar meminta wanita itu datang ke pejabat khalifah untuk mendapatkan bantuan segera, pagi harinya wanita itu pergi ke pejabat khalifah dan dia sangat terkejut kerana orang yang membantunya semalam adalah Saidina Umar bin Al-Khattab.
Begitu juga kisah Umar berjalan di malam hari, pada suatu ketika Umar r.a sangat tertarik dengan seorang anak gadis yang enggan mencampurkan susu dengan air kerana takutkan Allah. Bahkan Umar melamar gadis itu untuk puteranya,Ashim bin Umar.


Tangisan Khutbah Saidina Umar, mimpi Saidina Umar dan kematiannya

Pada suatu hari dalam tahun 23 Hijrah, Saidina Umar yang sedang memberikan khutbah Jumaat dengan tidak semena-mena menangis. Para sahabat kehairanan, namun membiarkan Umar menangis kerana tidak mahu mengganggu khutbah beliau. Selepas solat Jumaat, para sahabat bertanya kepada Umar kenapa beliau menangis secara tiba-tiba. Saidina Umar menceritakan perihal mimpinya kepada sahabat yang bertanya. Saidina Umar mengatakan dia akan sentiasa redha dengan apa yang akan berlaku. Kerana sesungguhnya Allah akan sentiasa bersama dengan orang yang bertakwa.
Pada suatu malam, Saidina Umar telah bermimpi kakinya dipatuk ular sebanyak 3 kali. Umar yang berasa pelik dengan mimpi itu lantas berjumpa dengan Jaafar bin Abi Talib r.a. kerana isteri Jaafar yakni Asma’ binti Umais terkenal dengan kebolehannya mentafsir mimpi.(Ada riwayat yang mengatakan ketika itu Asma’ adalah janda Jaafar,bukan isterinya). Mengikut tafsiran Asma’ binti Umais, Saidina Umar akan ditikam sebanyak tiga kali dan beliau mungkin akan terkorban kerana itu.
Umar pulang ke rumah setelah mendengar perkabaran itu. Pada keesokkan harinya, iaitu sabtu. Umar menjadi imam bagi solat subuh (pada zaman itu pemimpin negara adalah pemimpin dalam setiap solat). Pada hari sabtu, kebiasaannya Saidina Umar akan membaca Surah Yusuf pada rakaat pertama. Sehingga sampai pada ayat 84 yang berkisarkan kisah Nabi Ya’kub yang bersedih kerana kewafatan Yusuf yang terbunuh, Umar kembali menangis untuk beberapa ketika. Kemudian, Umar rukuk dan pada ketika inilah datangnya Abu Lukluk, seorang hamba yang baru dimerdekakan meluru ke arah Saidina Umar dan menikam sebanyak tiga kali. Hamba tersebut menikam belakang Saidina Umar. Crut! Tikaman yang pertama. ALLAHUAKBAR! Itulah lafaz yang keluar dari mulut Saidina Umar. Crut! Tikaman yang kedua. ALLAHUAKBAR! Crut! Tikaman yang ketiga. ALLAHUAKBAR! Umar tetap mengagungkan Allah walaupun dalam kesakitan.

Abu Lukluk melarikan diri, Umar cuba meneruskan solatnya. Sami’allahulimanhamidah. Umar cuba untuk bangun Iqtidal. Dan ketika itu Umar terus rebah. Abdul Rahman bin Auf yang solat dibelakangnya berijtihad untuk meneruskan solat, Abdul Rahman lantas mara kehadapan menggantikan Umar sebagai Imam pada pagi itu. Beberapa sahabat yang lain membatalkan solat mereka untuk membantu Umar, beberapa yang lain berusaha mengejar Abu Lukluk, tetapi Abu Lukluk berjaya melarikan diri.

Beberapa ketika sahabat yang lain cuba membantu Saidina Umar Al-Khattab, namun takdir Allah telah menentukan Saidina Umar meninggal dunia ketika itu juga. Begitulah syahidnya seorang pembela Islam yang unggul. Syurga menanti kedatangan, kerana jika beliau tidak syahid sekalipun, Saidina Umar sememangnya salah seorang sahabat yang dijamin masuk syurga. Subhanallah.

Jumaat, 1 April 2011

HAKIKAT TAUBAT MENURUT AHLUS SUNNAH WAL JAMAAH

Kebanyakan masyarakat percaya berdasarkan sangkaan bahawa taubat bagus dimulakan apabila umur tua (sudah berumur), setelah beranak cucu, setelah menunaikan haji atau dengan beberapa alasan lain adalah suatu tradisi atau idea yang batil, berpunca dari kejahilan seseorang itu tentang apa itu taubat dan pengampunan Allah yang sebenarnya.

Tiada seorang individu pun yang dibenarkan menentukan bila masanya seharusnya seseorang itu bertubat. Sedangkan perintah Allah agar bersegera bertaubat tidak pernah ditetapkan masa-masanya yang tertentu, tempat-tempatnya yang tertentu, pada situasi atau kondisi yang tertentu, malah seseorang hamba yang tahu dirinya berdosa diwajibkan agar cepat-cepat bertaubat. Ini kerana manusia sering didominan oleh hawa nafsunya dan godaan syaitan.

Oleh itu, Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang memudahkan kepada sekalian hambaNya untuk segera bertaubat. Buku kecil ini layak dikonsumsi oleh semua peringkat usia, dapat membantu dalam urusan atau cara bertaubat, membincangkan permasalahan taubat yang perinsipil agar membuka minda dan kesedaran masyarakat tentang perlunya bersegera bertaubat.

Bagi sesiapa yang telah melakukan kesalahan atau merasa berdosa, sama ada besar atau kecil, yang telah lama berlaku atau yang baru saja dilakukan, maka tulisan ini membantu para pembaca cara-cara untuk bertaubat sebagaimana yang ditunjuk ajar dan dibimbing oleh syara..

Semoga tulisan yang dipenuhi dengan hujjah dan dalil-dalil dari al-Quran dan hadis ini dapat membetulkan konsep taubat dalam fikiran pelaku dosa, memberi keinsafan kepada mereka yang takutkan Allah, yang ingin keampunan-Nya, mengharapkan rahmat dari-Nya dan ingin menjadi generasi ahlus sunnah yang soleh dan yang bertakwa.

Dengan demikian, diharapkan mereka yang telah sedar akan hakikat sifat Allah Yang Maha Pengampun agar bersegera bertaubat tanpa dilengah-lengahkan lagi, kerana bertaubat dan meminta keampunan adalah perintah dari Allah yang telah tertera di dalam al-Quran dan hadis.

Moga-moga tulisan ini sentiasa diberkati oleh Allah Azza wa-Jalla dan dapat dimanfaatkan oleh para pembaca yang budiman.
------
Taubat Dan Pengertiannya
------

Pengertian taubat menurut syara ialah kembali kepada Allah dengan berpegang teguh kepada kewajipan yang diwajibkan kepada hambaNya. Meninggalkan laranganNya atau beralih dari setiap perbuatan yang dibenci kepada yang disenangi.

Orang yang bertaubat amat beruntung kerana kembali menjalankan perintah Allah dan menjauhkan larangannya. Inilah hakikat taubat sehingga Allah memberi kejayaan dan pahala kepada sesiapa yang mentaati hakikat ini. FirmanNya:

“Dan bertaubatlah kamu sekalian wahai kaum mukminin! Semoga kamu mendapat kemenangan”. ( An-Nur: 31)

Al-Quran menjelaskan bahawa Allah Maha Pengasih, Penyayang dan Maha Pengampun yang sentiasa mengampunkan segala dosa hambaNya yang mahu bertaubat. FirmanNya lagi:

“Katakanlah! Wahai hamba-hamba Ku yang melampaui batas terhadap dirinya sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnyanya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan Kembalilah kamu kepada Tuhanmu dan berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi)”. (az-Zumar: 53-54)

Melalui Sifat Allah Yang Maha Pengasih dan Pengampun, Allah menjanjikan rahmat dan pengampunan dari semua dosa kepada hambaNya yang bertaubat. Allah Subhanahu wa-Ta’ala pula bertanya mengapa kamu tidak mahu bertaubat sedangkan taubat adalah amalan yang mulia di sisiNya sebagaimana firmanNya:

“Maka mengapa mereka tidak mahu bertaubat kepada Allah dan memohon ampun kepadaNya? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (Al-Maidah, 74)

“Dan Tuhanmu Maha Pengampun lagi melimpah-limpah rahmatNya”. (Al-Kahfi, 58)

Oleh kerana Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang, melimpah-limpah rahmatNya dan mencintai hambaNya yang bertaubat, maka adalah suatu kesilapan bagi seseorang yang melambat-lambatkan taubatnya sehingga menunggu pada sesuatu masa yang tertentu, seperti menunggu di hari tua, setelah menunaikan haji, setelah bersara, setelah berilmu, setelah berjaya meninggalkan maksiat, setelah berkeluarga atau sebagainya. Maka melengah-lengahkan taubat seperti ini adalah suatu kejahilan dan kesilapan yang nyata. Sebenarnya Allah menyeru agar hambaNya sentiasa bersegera meminta keampunan dan bertaubat kepadaNya sebagaimana firmanNya:

“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa”. (Ali-Imran, 133)

Allah Subhanu wa-Ta’ala tidak akan membiarkan para hambanya bergelumang dengan berbagai dosa, oleh kerana itu Allah sentiasa membuka luas pintu taubat dan keampunannya kepada mereka yang mahu bertaubat. Allah memberikan contoh bahawa Nabi Adam dan Hawa telah bertaubat dari kesalahannya dan Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang menerima taubat mereka. Allah berfirman:

“Keduanya (Adam dan Hawa) berdoa, Ya Tuhan kami! Kami telah menganayai diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampuni kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang merugi”. (Al-Baqarah, 23)

“Kemudian Adam Menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”. (Al-Baqarah, 37)

“Kemudian Tuhan memilihnya (Nabi Adam ‘alaihis salam), maka Dia menerima taubatnya dan memberi petunjuk”. (Taha: 122)

------
Jangan Menzalimi Diri Sendiri
------

Manusia sebagai hamba Allah terbahagi kepada dua bahagian, pertama: Orang yang bertaubat dari kesalahannya dan kedua: Orang yang menzalimi dirinya sendiri. Dianggap orang yang menzalimi dirinya sendiri ialah orang yang tidak mahu bertaubat. Orang yang tidak mahu bertaubat seolah-olah tidak mengenali Tuhannya, tidak mengetahui hak-haknya yang diberikan oleh Allah kepadanya dan tidak melihat aib dirinya dan perbuatannya.

Manusia perlu sedar bahawa Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam walaupun sebagai seorang Nabi dan Rasulullah namun baginda disetiap hari sentiasa bertaubat sebagaimana sabda baginda:

“Wahai sekalian manusia! Bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, kerana demi Allah, sesungguhnya aku bertaubat kepadaNya lebih dari tujuh puluh kali dalam sehari”.

Apabila bertaubat, bererti seseorang itu telah meninggalkan jalan orang yang sesat, terkutuk dan dimurkai Allah, kemudian kembali kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala dengan seluruh dimensi kesedaran di hatinya.
------

Cara-Cara Bertaubat
------


Antara cara-cara dan makna taubat menurut syara ialah:

Menyedari besarnya dosa yang dilakukan sehingga menyesalinya dan menggeruni balasannya yang akan tertimpa diakhirat kelak jika tidak bertaubat, sebagaimana sabda Rasullullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

“Menyesali (dosa) itu adalah taubat”. (H/R Ahmad dan Ibn Majah. Sahih al-Jam’i. 6802)

Berniat serta berusaha sedaya upaya menjauhi dan meninggalkan dosa yang telah dilakukan dan bertekad tidak akan mengulanginya lagi.

Meninggalkan setiap apa yang dibenci dan diharamkan oleh Allah lahir dan batin, lantas beralih kepada yang dicintai dan diredhaiNya.

Bertaubat dengan taubat nasuha sebagaimana firman Allah:

“Hai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha (taubat yang semurni-murninya), mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai”. (At-Tahrim, 8)

Sememangnya sudah tercangkup dalam agama Islam pengertian taubat. Kerana taubat adalah hakikat Islam, iman dan ihsan yang meliputi semua tingkatan ibadah, amal dan tingkah laku seorang mukmin, dari awal hinggalah kepengakhir hidupnya. Oleh itu, setiap mukmin wajib menyedari dan mengetahui hakikat taubat dan menerapkan dalam ilmu dan kehidupannya. Orang yang suka bertaubat amat mulia di sisi Allah dan dicintaiNya. Allah Azza wa-Jalla bergembira dengan taubat seseorang mukmin sehinggalah ia menjadi kekasihNya. (Rujuk: Madarajus Salikin jld. 1 hlm. 187 Ibn Qayyim) Allah berfirman:

“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang mahu bertaubat dan orang-orang yang mahu membersihkan dirinya sendiri”. (Al-Baqarah, 2: 222)

Orang yang leka atau tidak mahu bertaubat, kemudian menyerahkan nasibnya kepada qada dan qadar, maka ia adalah seorang yang amat jahil, telah meninggalkan perintah Allah, seorang yang sombong, tidak sedar diri, dan telah menzalimi darinya sendiri sebagaimana firman Allah Azza wa-Jalla:

“Dan barangsiapa yang tidak mahu bertaubat maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Al-Hujurat, 49:11)

Allah menyeru dan memerintahkan agar hambaNya yang berdosa sering bertaubat dengan taubat nasuha (taubat yang murni). Perlulah diketahui dan disedari bahawa Allah Yang Maha Pengasih dan Pengampun sentiasa menerima taubat seseorang walau bagaimanapun besarnya dosa yang telah dilakukan. Allah berfirman:

“Tidakkah mereka mengetahui, bahawasanya Allah menerima taubat hamba-hambanyaNya”. (At-Taubah, 9:104)

Bertaubat bukan sahaja merupakan perintah Allah, tetapi taubat adalah nikmat dan penghapus segala dosa sehingga tiada hadnya dosa yang diampunkan. Dosa di pagi hari terhapus lantaran taubat di waktu petang dan dosa di siang hari terhapus lantaran taubat di waktu malam. Bagitulah janji Allah di dalam firmanNya:

“Hai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai”.

“Dan Dialah yang menerima taubat dari hambaNya dan mengampunkan segala dosa dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (As-Syura, 43:25)

“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubatlah kepadaNya (jika kamu mengerjakan yang demikian), nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (terus menerus) kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberi kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan) keutamannya. Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa siksa Hari Kiamat”. (Hud, 11:3)

“Dan hendaklah kamu meminta keampunan kepada Tuhanmu dan bertaubat kepadaNya”. (Hud, 3)

Dari Abu Musa al-Asy’ari radiallahu ‘anhu beliau menceritakan: Rasulullah bersabda:

“Sesungguhnya Allah Azza wa-Jalla membentangkan tanganNya di malam hari untuk menerima taubat orang yang berbuat dosa di siang hari dan membentangkan tanganNya di siang hari untuk menerima taubat orang yang berdosa di malam hari. Demikianlah seterusnya sehingga sampai matahari terbit dari barat (Kiamat)”. (H/R Muslim)

Demikianlah keutamaan taubat sehingga orang yang meninggalkan taubat dianggap membiarkan dirinya dalam dosa dan menzalimi dirinya sendiri. Predikat zalim hanya hilang apabila dihapuskan dengan bertaubat dan mengamalkan yang diperintah serta meninggalkan yang dilarang.

------
Syarat-Syarat Taubat
------

Mengikut Manhaj Salaf as-Soleh, antara syara-syarat taubat yang wajib dipenuhi agar taubat di terima oleh Allah Azza wa-Jalla ialah:

Berazam dan bertekad untuk meninggalkan (tidak akan mengulangi lagi) perbuatan dosa yang telah dilakukan.

Kesal (menyesali) dan berduka di dalam hati terhadap perbuatan dosa yang dibuat.

Bersegera meninggalkan dosa yang telah dilakukan semata-mata kerana Allah.

Jika dosa yang dilakukan berkaitan dengan orang lain, syaratnya ia wajib membebaskan dirinya dari hak yang bukan miliknya untuk dikembalikan kepada yang berhak atau minta dihalalkan, ini bererti jika berupa harta benda wajib dikembalikan. Jika berupa fitnah, ghibah (umpatan), penghinaan, cacian, kutukan, laknat dan kezaliman, maka wajib meminta maaf daripada orang tersebut terutama terhadap kezaliman yang dilakukan kepadanya.
------
Hukum Taubat
------

Sepakat para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh mengatakan bahawa: “Bertaubat dari segala dosa hukumnya wajib bagi setiap muslim lelaki dan perempuan, kerana manusia selain nabi dan rasul tidak sunyi dari dosa (tidak maksum)”.

Rasulullah bersabda:

“Setiap Bani Adam mereka itu bersalah dan sebaik-baik mereka yang melakukan kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat”.

Hadis di atas menyatakan bahawa semulia-mulia manusia adalah yang bertaubat apabila menyedari dirinya telah melakukan dosa atau bersalah. Allah Azza wa-Jalla pula telah memerintahkan setiap mukmin agar mereka segera bertaubat, janganlah ditangguh-tangguh atau dilewat-lewatkan. Adapun antara dalil-dalil dari al-Quran tentang wajibnya segera bertaubat ialah:

“Bertaubatlah kamu sekalian wahai kaum mukminin kepada Allah semoga kamu mendapat keuntungan”. (An-Nur. 31)

Bertaubat adalah amalan para Nabi, para Rasul, para sahabat, tabi’in, tabi’ut at-tabiin (para salaf) dan orang-orang soleh. Perkara ini telah digambarkan di dalam ayat-ayat al-Quran:

“Kemudian Adam menerima beberapa kalimah dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”. (Al-Baqarah, 2:37)

Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi, orang-orang Muhajirin dan orang-orang Ansar, yang mengikuti Nabi dalam masa kesulitan, setelah hati segolongan dari mereka hampir berpaling, kemudian Allah menerima taubat mereka itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada mereka”. (At-Taubah, 9:117)

“(Iaitu) bahawasanya barangsiapa yang berbuat kejahatan antara kamu lantaran kejahilan, kemudian ia bertaubat setelah mengerjakannya dan mengadakan perbaikan, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (Al-An’am, 6:54)

“Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Dan tidaklah taubat itu diterima Allah dari orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang antara mereka (barulah) ia mengatakan: Sesungguhnya saya bertaubat sekarang. Dan tidak (pula diterima taubat) orang-orang yang mati sedang mereka di dalam kekafiran”. (An-Nisa, 4:17-18)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah berdoa dengan doa meminta pengampunan dan taubat sebagaimana yang berikut ini:

“Ya Tuhanku! Ampunkanlah diriku dan terimalah taubatku. Sesungguhnya Engkau adalah Maha Penerima taubat dan Maha Pemberi rahmat”. (H/R Turmizi. Dan berkata Turmizi: Hadis hasan sahih)
------
Tanda-Tanda Diterimanya Taubat
------

Petanda seseorang itu bertaubat dan telah diterima taubatnya telah dijelaskan oleh Ibnu Qayyim rahimahullah. Antara tanda-tanda tersebut ialah:

Setelah bertaubat, seseorang hamba itu lebih baik dari sebelumnya.

Terus diselubungi rasa takwa dan takut terhadap dosanya dan tidak pernah merasa aman dari siksa Allah walau sekelip mata.

Terlepas dari cengkaman dosa yang dilakukan kerana penyesalan dan rasa takutkan dosa.

Lembut hatinya setelah bertaubat dengan kelembutan yang sempurna, sehingga tunduk kepada Allah walau dalam keadaan marah dan sentiasa dalam kekhusukan. (Lihat: Madarajus Salikin. Jld. 1)

Allah Azza wa-Jalla telah menggambarkan ciri-ciri atau keadaan orang yang telah bertaubat di dalam firmanNya, bahawa mereka sentiasa beramal soleh dengan cara mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menyuruh berbuat baik dan melarang dari mengerjakan yang mungkar:

“Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji (Allah), yang melawat (mencari ilmu, berjihad, berpuasa), yang menyuruh berbuat makruf dan menegah berbuat mungkar dan memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang mukmin”. (At-Taubah, 9:112)

“Jika mereka bertaubat (mereka) mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka (mereka itu) adalah saudara-mara mu seagama”.

Allah Subhanahu wa-Ta’ala telah menggambarkan di dalam al-Quran tentang sikap mereka yang telah bertaubat dan ikhlas dalam taubatnya, bahawa mereka bertambah kuat iman dan amalnya, memperbaiki ibadahnya dengan cara banyak beramal soleh, belajar ilmu-ilmu agama, konsisten dan sentiasa beriltizam. Firman Allah:

“Kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga dan tidak dianiaya (dirugikan) sedikitpun”. (Maryam, 19:60)

“Kecuali orang-orang yang taubat dan mengadakan perbaikan dan berpegang teguh pada (agama) mereka kerana Allah. Maka mereka itu adalah bersama-sama orang yang beriman dan kelak Allah akan memberikan kepada orang-orang yang beriman pahala yang besar”. (An-Nisa, 4:146)
------
Taubat Nasuha
------

Sebagaimana yang telah dijelaskan bahawa bertaubat nasuha atau taubat yang murni adalah dituntut oleh syara berdasarkan firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu sekalian dengan taubat nasuha (taubat yang murni)” (At-Tahrim, 8)

Ibnul Qayyim al-Jauziyah rahimahullah telah menjelaskan cara-cara taubat nasuha:
Pertama: Meminta pengampunan (taubat) yang meliputi segala dosa-dosa maksiat tanpa ada kecualinya, sehingga tidak ada dosa yang tidak disertakan dalam taubatnya.

Kedua: Membulatkan tekad dan kejujuran hati dengan sepenuhnya supaya tidak menyiksa pada dirinya keragu-raguan, kekesalan atau menanti-nanti (masa bertaubat). Tetapi seorang hamba harus mengerahkan segala keinginan dan ketekadannya untuk segera bertaubat.

Ketiga: Memurnikan taubat dari berbagai noda dan penyakit yang mengganggu keikhlasan bertaubat.

Seterusnya memastikan agar taubat itu benar-benar dari rasa takut, kesedaran dan gentar terhadap siksa Allah, mengharapkan apa yang ada di sisiNya dan khawatir terhadap ancamanNya.. Jauhilah diri dari cara taubatnya orang-orang yang hanya ingin mempertahankan maruah dan kehormatannya, kedudukannya, jawatannya, kepemimpinannya untuk memelihara kekuasan dan harta bendanya, atau demi mendapatkan pujian orang banyak, takut pada penghinaan manusia agar orang-orang yang bodoh tidak memperbodohkan dan menghinanya, atau sekadar memenuhi sifat rakusnya terhadap dunia, atau kerana muflis yang tidak berdaya lagi, atau taubatnya lantaran penyakit yang tersembunyi yang telah merosakkan kebenaran dan ketulusan taubatnya kepada Allah Azza wa-Jalla. (Lihat Madarijus Salikin Jld.1 Hlm. 178)

Ketiga-tiga perkara di atas yang dijelaskan oleh Ibn Qayyim sewajarnya difahami dan dipenuhi apabila bertaubat, kerana dengannyalah taubat nasuha seseorang itu akan diterima oleh Allah Azza wa-Jalla.

------

Dosa Umpama Penyakit Yang Merbahaya
------

Orang yang berpenyakit memerlukan ubat dan rawatan. Dosa diumpamakan penyakit rohani yang bertempat di hati sebagaimana firman Allah:

“Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya”. (Al-Baqarah, 2:10)

Taubat merupakan terapi, pengubat dan penghapus segala dosa (penyakit) dan pembersih kekotoran hati yang dicemari oleh dosa. Perkara ini telah dijelaskan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam disebuah hadis baginda:

“Dari Abu Hurairah radiallahu anhu, beliau berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah bersabda: Sesungguhnya jika seorang mukmin itu melakukan dosa, maka dosa itu menjadi noktah hitam di dalam hatinya. Lalu jika dia bertaubat, melepaskan dosanya dan memohon keampunan, maka hatinya menjadi bersinar. Yang demikian itulah tutupan yang disebut Allah Azza wa-Jalla dalam kitabNya: Sekali-kali tidak (demikian)! Sebenarnya dosa yang selalu mereka lakukan itu menutup hati mereka”. (Ayat di surah al-Muthaffifin, 14. Menurut At-Tirmizi hadis ini hasan sahih. Minhajul Qasisin. Ibnu Qudamah. Hlm. 388)

Al-Hasan radiallahu ‘anhu pula berkata:

“Kebaikan adalah cahaya di dalam hati dan kekuatan bagi tubuh. Sedangkan dosa merupakan kegelapan di dalam hati dan kelesuan bagi tubuh”. (Lihat: Minhajul Qasidin. Hlm. 388. Ibnu Qudamah)

Oleh itu, janganlah dibiarkan hati gelap, lesu dan tersiksa kerana berpenyakit, ubati dan rawatlah hati dengan banyak meminta pengampunan kepada Allah Yang Maha Pengampun dengan segera dengan cara bertaubat.
------
Taubat Nasuha Menghapuskan Semua Dosa
------

Menurut ulama tafsir, semua dosa akan diampunkan oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala lantaran taubat nasuha. Sama ada yang besar seperti kufur, syirik atau murtad dan tercangkup dosa-dosa yang lebih rendah dari itu juga akan terampun.

Adapun keraguan bahawa dosa-dosanya terlalu banyak untuk diampunkan oleh Allah sehingga berat untuk bertaubat, maka Seyikh Muhammad Soleh al-Munajjid berkata punca-puncanya ialah dikeranakan oleh:

Ketidak-yakinan seseorang terhadap luasnya rahmat Allah dan kasih sayangNya.

Lemahnya iman dan keyakinannya terhadap kuasa Allah yang mampu mengampuni keseluruhan dosa makhlukNya.

Kurang berharap, berdoa, mengingati dan tawadhu’ kepada Allah.

Tidak berkeyakinan bahawa taubat itu pasti menghapuskan semua jenis dosa disebabkan rahmat Allah. (Lihat: اريد ان اتوب ولكن Muhammad Soleh al-Munajjid)

Allah tidak pernah merasa rugi atau kekurangan jika mengampunkan segala dosa hambaNya yang meminta pengampunan. Pengampunan Allah Azza wa-Jalla sentiasa diberikan kepada hambaNya yang bertaubat kerana rahmatNya meliputi segala-galanya. Firman Allah Subhanahu wa-Ta’ala:

“Dan rahmatKu meliputi segala sesuatu”. (Al-A’raf, 156)

“Katakanlah! Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan semua dosa”. (Az-Zumar, 53)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah bersabda:

“Orang yang bertaubat dari dosanya bagaikan orang yang tidak mempunyai dosa sama sekali”. (H/R Ibn Majah. Sahih al-Jami’. 2008)
------
Pintu Taubat Sentiasa Terbuka
------

Pintu taubat sentiasa terbuka kecuali setelah roh berada di kerongkongan (sakaratul maut). Dan taubat belum tertutup sebelum mata hari terbit dari barat (Kiamat). Sebagaimana sabda Rasulullah sallahu ‘alaihi wa-sallam:

“Sesiapa yang bertaubat kepada Allah sebelum rohnya berada di kerongkongan (Sakaratul maut), maka Allah menerima taubatnya”. (H/R Ahmad dan Turmizi. Sahihul Jami’ 6132)

“Sesiapa yang bertaubat sebelum matahari terbit dari barat, maka Allah menerima taubatnya”. (H/R Muslim)

Segala hujjah berupa ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis sahih dan penjelasan para ulama yang tertera di atas, semuanya menunjukkan bahawa pintu dan peluang untuk bertaubat sentiasa dibuka luas oleh Allah kepada sekalian hamba-hambaNya.

Tidak ada perbuatan durjana, keji dan mungkar yang tidak diampunkan jika pelakunya bertaubat nasuha, oleh itu rebutlah peluang dan kesempatan ini sebelum menemui kematian yang menakutkan.

Semoga semua penjelasan di atas dapat dicernakan di hati, difahami dan diamalkan. Dan akhir sekali, dengan penuh harapan kita bermohon kepada Allah Yang Maha Agung agar memberikan kepada kita kemudahan untuk memperbaiki amalan kita, menjauhkan kita dari maksiat dan menjadikan kita insan yang berkemampuan dan dimudahkan untuk beramal soleh, bertaubat nasuha dan bertakwa. Amin Ya Rabbal ‘Alamin!

RUJUKAN
1. Muhammad Isa Selamat,Titisan Air Mata Keinsafan,Taubat,amalan dan penghayatannya,1998,Darul Nu'man
2. sha,aria's moon.., dengan sedikit editing
3. Iluvislam.com

TAUBAT dan PENGERTIANNYA

Pengertian taubat menurut syara' ialah kembali kepada Allah dengan berpegang teguh kepada kewajipan yang diwajibkan kepada hambaNya. Meninggalkan laranganNya atau beralih dari setiap perbuatan yang dibenci kepada yang disenangi.

Orang yang bertaubat amat beruntung kerana kembali menjalankan perintah Allah dan menjauhkan larangannya. Inilah hakikat taubat sehingga Allah memberi kejayaan dan pahala kepada sesiapa yang mentaati hakikat ini. FirmanNya:

وَتُوْبُوا اِلَى اللهِ جَمِيْعًا اَيُّهَا الْمُؤْمِنُوْنَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ.
“Bertaubatlah kamu sekalian wahai kaum mukminin! Semoga kamu mendapat kemenangan”.[1]

Al-Quran menjelaskan bahawa Allah Maha Pengasih, Penyayang dan Maha Pengampun yang sentiasa mengampunkan segala dosa hambaNya yang mahu bertaubat. FirmanNya lagi:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِيْنَ اَسْرَفُوْا عَلَى اَنْفُسِهِمْ لاَ تَقْنَطُوْا مِنْ رَحْمَةِ اللهِ اِنَّ اللهَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ جَمِيْعًا اِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمِ ، وَاَنِيْبُوْا اِلَى رَبِّكُمْ وَاَسْلِمُوْا لَهُ مِنْ قَبْلِ اَنْ يَاْتِيَكُمُ الْعَذَابُ ثُمَّ لاَ تُنْصَرُوْنَ.
“Katakanlah! Wahai hamba-hamba Ku yang melampaui batas terhadap dirinya sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnyanya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan Kembalilah kamu kepada Tuhanmu dan berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi)”.[2]

Melalui Sifat Allah Yang Maha Pengasih dan Pengampun, Allah menjanjikan rahmat dan pengampunan dari semua dosa kepada hambaNya yang bertaubat. Allah Subhanahu wa-Ta’ala pula bertanya mengapa kamu tidak mahu bertaubat sedangkan taubat adalah amalan yang mulia di sisiNya sebagaimana firmanNya:

اَفَلاَيَتُوْبُوْنَ اِلَىاللهِ وَيَسْتَغْفِرُوْنَهُ وَاللهُ غَفُوْرٌرَحِيْمٌ.
“Maka mengapa mereka tidak mahu bertaubat kepada Allah dan memohon ampun kepadaNya? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.[3]

وَرَبُّكَ الْغَفُوْرُ ذُوْ الرَّحْمَةِ
“Dan Tuhanmu Maha Pengampun lagi melimpah-limpah rahmatNya”.[4]

Oleh kerana Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang, melimpah-limpah rahmatNya dan mencintai hambaNya yang bertaubat, maka adalah suatu kesilapan bagi seseorang yang melambat-lambatkan taubatnya sehingga menunggu pada sesuatu masa yang tertentu, seperti menunggu di hari tua, setelah menunaikan haji, setelah bersara, setelah berilmu, setelah berjaya meninggalkan maksiat, setelah berkeluarga atau sebagainya. Maka melengah-lengahkan taubat seperti ini adalah suatu kejahilan dan kesilapan yang nyata. Sebenarnya Allah menyeru agar hambaNya sentiasa bersegera meminta keampunan dan bertaubat kepadaNya sebagaimana firmanNya:

وَسَارِعُوْا اِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتِ وَاْلاَرْضِ اُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِيْنَ
“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa”.[5]

Allah SWT tidak akan membiarkan para hambanya bergelumang dengan berbagai dosa, oleh kerana itu Allah sentiasa membuka luas pintu taubat dan keampunannya kepada mereka yang mahu bertaubat. Allah memberikan contoh bahawa Nabi Adam dan Hawa telah bertaubat dari kesalahannya dan Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang menerima taubat mereka. Allah berfirman:

قَالاَرَبَّنَا ظَلَمْنَآ اَنْفُسَنَا وَاِنْ لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُوْنَنَّ مِنَ الْخَاسِرِيْنَ.
“Keduanya (Adam dan Hawa) berdoa, Ya Tuhan kami! Kami telah menganayai diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampuni kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang merugi”.[6]

فَتَلَقَّى آدَمُ مِنْ رَبِّهِ كَلِمَاتٍ فَتَابَ عَلَيْهِ اِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمِ.
“Kemudian Adam Menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”.[7]

ثُمَّ اجْتَبَاهُ رَبُّهُ فَتَابَ عَلَيْهِ وَهَدَى
“Kemudian Tuhan memilihnya (Nabi Adam ‘alaihis salam), maka Dia menerima taubatnya dan memberi petunjuk”.[8]




[1] - An-Nur, 31.
[2] - Az-Zumar, 53-54.
[3] - Al-Maidah, 74.
[4] - Al-Kahfi, 58.
[5] - Ali-Imran, 133.
[6] - Al-Baqarah, 23.
[7] - Al-Baqarah, 37.
[8] - Taha, 122.