Ahlan Wasahlan

Selamat Datang ke alam Insan Bernama Kekasih

Jumaat, 10 Disember 2010

KEPENTINGAN ULAMA DAN ILMU PENGETAHUAN

Semenjak kebelakangan ini kedengaran suara-suara sumbang dari pelbagai pihak yang cuba untuk menidakkan keilmuan dan keagungan para ulama Islam. Ada di antara mereka ini berkata para ulama bukannya maksum seperti Rasulullah SAW Jadi tidak perlulah untuk mengikut tunjuk ajar dari para ulama ini untuk memahami dan menjalani urusan agama Islam. Boleh sahaja untuk mengambil terus dalil-dalil daripada al-Quran al-Karim dan al-Hadis SAW dengan kefahaman sendiri. Adakah tindakan dan pendapat seperti ini bertepatan dengan Islam itu sendiri?

Firman Allah Taala bermaksud:

Maka hendaklah kamu bertanya ahli zikir (ulama) seandainya kamu tidak mengetahuinya.

(Surah al-Nahl: ayat 43).



Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna.

(Riwayat Ahmad, Tarmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah).



Perkataan ulama merupakan kata jamak dari kata dasar alim iaitu seseorang yang sangat berilmu pengetahuan. Secara umunya ulama Islam adalah orang yang menguasai dan mengamalkan ilmu-ilmu Allah Taala secara mendalam serta ikhlas dan mereka memiliki akhlak yang amat terpuji. Mereka mampu menyingkap dan memahami dalil-dalil dari al-Quran al-Karim dan al-Hadis SAW dengan sempurna. Sedangkan jika hendak dibandingkan kefahaman masyarakat awam untuk memahami dalil-dalil sudah tentulah mereka tidak berupaya sama sekali seperti keupayaan para ulama ini dalam memahami dalil-dalil. Kita juga tidak menafikan kadang-kala para ulama tetap tersalah di dalam ijtihad mereka tetapi amatlah sedikit kesalahan mereka itu. Para ulama yang sebenar tidak akan mengeluarkan sesuatu hukum agama mengikut hawa nafsu mereka semata-mata kerana mereka adalah golongan yang paling takut kepada kepada Allah Taala.



Firman Allah Taala bermaksud:

Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah ulama.

(Surah Faathir: Ayat 28).



Adalah sangat perlu dibezakan di antara mereka yang disebutkan sebagai ulama dan di antara mereka yang digolongkan sebagai penuntut-penuntut ilmu serta orang awam. Perbuatan bermudah-mudah dalam mengeluarkan sesuatu hukum-hakam agama berdasarkan dalil-dalil mengikut kefahaman akal fikiran sendiri oleh sebahagian masyarakat awam pada masa kini amatlah membimbangkan. Jika perkara seperti ini berterusan dari semasa ke semasa dan tidak dibendung dari sekarang ini maka sudah pastilah kesucian dan kemurnian syariat Islam itu akan tercemar. Memperkatakan sesuatu hukum tanpa ilmu pengetahuan yang cukup amatlah ditegah oleh Islam.



Firman Allah Taala bermaksud:

Dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak ketahui.

(Surah al-Aaraf: Ayat 33).



Islam sentiasa menggalakkan umatnya untuk menuntut ilmu dan bertanya sejak dari buaian hingga ke liang lahad. Bertanyakan hukum-hakam Islam dari para ulama bukanlah bermakna Islam melarang umatnya untuk terus berfikir dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Namun perihal agama mestilah diserahkan kepada ahlinya (para ulama) di atas kelayakkan yang mereka perolehi itu. Kita juga disarankan agar terus belajar dan menuntut ilmu supaya suatu hari nanti kita bakal menjadi alim dan dapat membantu masyarakat Islam dalam menyelesaikan sebarang persoalan yang timbul. Kesimpulan kecil yang boleh kita katakan di sini ialah: Masyarakat awam yang tidak mempunyai ilmu yang cukup tidaklah dibenarkan sama sekali untuk mengeluarkan sesuatu hukum-hakam Islam sebelum dirujuk terlebih dahulu kepada para ulama yang boleh dipercayaai keilmuanya.



Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

"Bukan termasuk umatku orang yang tidak memuliakan orang dewasa kami, menyayangi anak kecil kami dan menghormati ulama kami".

(Riwayat Ahmad).

Para ulama berperanan untuk membimbing dan mendidik masyarakat serta menasihati pemerintah sekiranya mereka tidak menjalankan amanah dan tugas seperti yang dikehendaki oleh Islam. Jika para ulama diam membisu dari menyampaikan ajaran Islam yang sebenar maka sudah pastilah sesebuah negara dan masyarakat Islam itu akan menjadi rosak binasa dan jauh dari rahmat Allah Taala. Mereka juga berperanan menyampaikan ilmu pengetahuan dan menjadi contoh tauladan yang terbaik kepada manusia. Ilmu pengetahuan yang mereka perolehi itu mestilah disampaikan agar sekalian manusia terus terbimbing untuk melakukan kebaikkan dan sentiasa mentaati perintah Allah Taala.



Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

"Barangsiapa ditanya mengenai sesuatu ilmu lalu disembunyikannya maka Allah akan mengekangnya nanti dengan kekangan daripada api neraka pada Hari Kiamat kelak".

(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi).

Masyarakat hendaklah sentiasa mendampingi para ulama untuk mengutip mutiara-mutiara ilmu dari mereka. Sekiranya timbul sebarang persoalan dan masalah yang berkaitan dengan Islam maka hendaklah terus untuk bertemu dan bertanya para ulama. Pihak pemerintah pula hendaklah memberikan kebebasan kepada para ulama untuk menyampaikan nasihat dan teguran membina berkaitan ajaran agama Islam. Pemerintah juga perlu meminta pandangan dari para ulama sekiranya mereka mempunyai sebarang masalah hukum-hakam yang tidak dapat diselesaikan. Insitusi ulama mestilah diletakkan di tempat yang sepatutnya bersesuaian dengan taraf mereka sebagai pewaris para nabi. Ulama juga mestilah bersedia untuk mendepani isu-isu globalisasi selaras dengan tuntutan semasa. Perkara ini amatlah perlu di ambil perhatian agar kehadiran dan kepentingan ulama tidak tertumpu kepada mengeluarkan hukum-hakam Islam semata-mata bahkan peranan ulama perlu diperluaskan lagi.

Bagi para pelajar dan mahasiswa/wi yang digolongkan sebagai penuntut ilmu maka janganlah sesekali membuang masa walaupun sedikit untuk terus menuntut ilmu pengetahuan sehingga ke akhir hayat. Ilmu pengetahuan berperanan untuk membantu mengeluarkan manusia dari kegelapan menuju cahaya kebenaran. Manfaatkanlah ruang dan masa yang ada untuk mendampingi para ilmuan samada di universiti-universiti mahupun di sekolah-sekolah. Kedudukan orang berilmu adalah lebih tinggi darjatnya dari orang yang tidak berilmu. Menuntut ilmu juga adalah salah satu jihad yang dituntut oleh agama Islam.

Firman Allah Taala bermaksud:

Allah mengangkat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.

(Surah al-Mujadilah: Ayat 11).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Barangsiapa keluar mencari ilmu maka ia sebenarnya berjihad pada jalan Allah.

(Riwayat Tarmizi).


Daripada:

MUHAMMAD RASHIDI BIN HAJI WAHAB.
Universiti Al-Azhar, Mesir.

Menyembunyikan aib orang lain sesama Islam

Hadis-hadis Rasulullah SAW banyak menceritakan mengenai perintah atau galakan menyembunyikan keaiban saudara seislam yang lain. Antaranya hadith daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu bahawa Nabi SAW bersabda:

"Tidak menutup seseorang akan keaiban orang lain melainkan Allah akan menutup keaibannya pada hari qiamat".
(Riwayat Muslim).

Hadith ini menceritakan kelebihan bagi sesiapa yang menutup keaiban saudaranya, maka Allah akan menutup keaibannya pada hari qiamat. Menurut para ulama, menyembunyikan keaiban orang lain terbahagi kepada dua keadaan: iaitu mahmud (terpuji) dan mazmum (dikeji).

Menyembunyikan keaiban orang lain dianggap terpuji jika orang itu dari kalangan orang yang baik, beriman dan beramal soleh. Maka dalam hal ini keaibannya perlu dirahsiakan. Berbeza dengan orang yang suka melakukan maksiat, berbangga dengan maksiat yang dilakukan dan suka menceritakan maksiatnya kepada orang. Maka harus diceritakan kejahatannya supaya dapat dihukum seterusnya menjadi pengajaran kepada orang lain.

Apa yang penting dalam menyembunyikan keaiban orang lain adalah bergantung kepada maslahah atau kepentingan. Jika kepentingan menutup perbuatan tersebut maka perlu dirahsiakan begitulah sebaliknya. Perhatikan sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oIeh Imam Al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

"Setiap umatku dimaafkan melainkan orang yang terang-terangan dan menunjuk-nunjuk dalam melakukan kemaksiatan (Al-Mujaharah). Dan sesungguhnya termasuk di bawah (Al-Mujaharah) ialah orang yang bangga melakukan kejahatan pada malam hari kemudian pada paginya Allah menyembunyikan keaibannya tetapi dia pula menceritakan kepada orang lain dengan berkata: "Ya Pulan, aku melakukan perbuatan ini dan itu semalam", pada hal ketika dia tidur pada malamnya Allah telah menutup keaibannya tetapi pada keesokannya dia mendedahkan apa yang telah ditutup oIeh Allah SWT.

Islam melarang umatnya mengaibkan sesama Islam sehinggakan orang yang telah dihukum dengan hukuman had pun ditegah daripada dihina dan diaibkan sebagaimana hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oIeh Abu Hurairah yang bermaksud:

"Seorang yang telah meminum arak dibawa kepada Nabi lalu Nabi memerintahkan supaya lelaki tersebut disebat. Abu Hurairah menceritakan: Ada di antara kita yang memukul dengan tangannya, ada yang memukul dengan kasutnya, ada yang memukul dengan pakaiannya. Ketika lelaki tersebut beredar, setengah kaum menghinanya dengan mengatakan semoga Allah menghinakan engkau. Lalu Nabi melarang dengan katanya: Jangan mengeluarkan perkataan itu nanti syaitan akan mengambil peluang".


Larangan dan tegahan Islam tentang perkara yang mengaibkan sesama Islam adalah demi menjaga hubungan silaturrahim dan perpaduan sesama mereka. Musuh-musuh Islam akan bergembira apabila melihat umat Islam benci-membenci sesama mereka, hina-menghina, aib-mengaib dan fitnah-memfitnah. Golongan yang dalam hatinya ada perasaan benci dan hasad kepada saudara seislamnya merupakan golongan yang ada dalam dirinya sifat-sifat munafiq. Tidak ada perkara yang tidak boleh diselesaikan dalam Islam. Islam menganjurkan perbincangan dan pertemuan bagi menyelesaikan sebarang pertelingkahan dan pergeseran.

Mengaibkan saudara seislam yang lain tanpa bukti dan fakta yang tepat merupakan satu jenayah yang sangat besar kepada perpaduan Islam. Umat Islam sewajarnya melupakan pergeseran yang bersifat peribadi dan meletakkan kepentingan dan perpaduan ummah lebih daripada segala-galanya.

Pengajaran yang dapat diperolehi dari perbincangan di atas:


1. Kehidupan bermasyarakat dan bernegara hendaklah berlandaskan nilai-nilai akhlak dan nilai budaya yang bertamadun.

2. Umat Islam perlu membina masyarakat dan negara di samping berinteraksi dalam politik, sosial, perniagaan dan sebagainya berdasarkan nilai dan ajaran Al-Quran yang luhur.

3. Nama baik seseorang serta kehormatannya perlu dilindungi sesuai dengan perintah Allah dan Rasul-Nya.

4. Orang atau kumpulan yang menggunakan cara mengaibkan lawan seperti mencolek, mengugut, melakukan rasuah, memfitnah dan sebagainya adalah melakukan perkara yang diharamkan oIeh Allah SWT.

5. Golongan berkenaan pasti menerima padah dan akan dicampak oleh Allah ke dalam api neraka.


"Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan bahaya (seksa, bunuh dan sebagainya) kepada orang-orang yang mukmin laki-laki dan perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka jahannam dan mereka akan beroleh azab api yang kuat membakar".

Kepentingan Mazhab Kepada Umat Islam

Setiap individu Muslim wajib mentaati ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Walaubagaimanapun diakui bahawa tidak semua orang dapat merujuk terus kepada al-Quran dan al-Sunnah. Ini kerana manusia memiliki kemampuan yang berbeza-beza.

Tujuan sebenar mazhab-mazhab Islam sejak dari da-hulu ialah memudahkan umat Islam mencapai ketaatan ke-pada al-Quran dan al-Sun-nah. Setiap ajaran mazhab adalah berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah, oleh itu mengikuti mazhab bererti mengikuti al-Quran dan al-Sunnah.

Seorang yang mempau memahami al Quran dan Sunah, dia dibolehkan merujuk secara terus kepada al-Quran dan al-Sunnah. Malah merupakan satu kesalahan bagi dia untuk menurut sahaja (taqlid buta) sesuatu mazhab kerana berbuat sedemikian bererti dia menderhakai kelebihan yang diberikan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepadanya.

Sebaliknya bagi seorang yang tiada kemampuan kefahaman, bagi mereka diharuskan mengikut sesuatu mazhab fiqh Islam. Sememangnya inilah tujuan sebenar mazhab-mazhab Islam sejak dari dahulu, iaitu memudahkan umat Islam mencapai ketaatan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Ini kerana setiap ajaran mazhab adalah berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah, oleh itu mengikuti mazhab bererti mengikuti al-Quran dan al-Sunnah.

Muhammad 'Awwamah menulis:

(Mazhab) Fiqh dari para fuqaha - Abu Hanifah dan ulama'-ulama' lainnya tentang berpuluh-puluh ribu permasalahan fiqh Islami adalah sebenarnya penafsiran terhadap sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan bukan merupakan unsur luar yang dimasukkan ke dalam Islam dan bukan pula hasil rekaan akal mereka yang tidak disandarkan kepada sumber asli syari‘at Islam.

Apabila kita berkata fiqh (atau mazhab) Abu Hanifah atau fiqh (mazhab) al-Syafi‘e …… maka maksud sebenar perkataan kita itu ialah “Pemahaman Abu Hanifah dan Pemahaman al-Syafi‘e.”

Pemahaman terhadap apa ?

Tak lain adalah pemahaman mereka terhadap al-Qur'an dan Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Demikianlah kerana asal perkataan 'fiqh' di dalam bahasa Arab bererti 'pemahaman'.

Mazhab-mazhab fiqh Islam berperanan sebagai jalan bagi membawa seorang Muslim itu kepada ketaatan terhadap al-Quran dan al-Sunnah. Ia memudahkan umat yang tidak berkemampuan untuk mendekati ajaran al-Quran dan al-Sunnah secara terus. Ini sebagaimana terang al-Sya’rani rahimahullah:

Tujuan yang ingin dicapai oleh para imam mazhab ialah menjelaskan kepada manusia apa yang telah difirmankan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan apa yang disabdakan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat umum kerana kebanyakan ahli masyarakat tidak mampu memahami dalil-dalil al-Quran dan Hadis secara langsung.

Demikian juga ulas Abu Ameenah Bilal Philips:

Melalui kajian peredaran sejarah, dapat kita ketahui bahawa Fiqh Islam dan mazhab-mazhabnya mempunyai hubung-kait yang erat antara satu sama lain dalam menyumbang kepada kefahaman kepada al-Quran dan al-Sunnah sama ada secara umum mahupun khusus.

Hendaklah diakui bahawa kedua-dua fiqh Islam dan mazhab-mazhabnya diperlukan bagi menyokong sumber wahyu yang diturunkan, iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah dalam menggariskan panduan-panduan bagi keseluruhan umat beribadat dan menjalani kehidupan duniawi.

Berdasarkan ilmu dan kebijaksanaan yang dikurniakan Allah kepada umat-Nya terutama ulama’-ulama’, sumber al-Quran dan al-Sunnah dapat ditafsirkan dan diterjemahkan bagi memenuhi keperluan semua lapisan umat sezaman dan di sinilah dapat dilihat keutamaan fiqh dan mazhab dalam agama Islam.

Namun dalam kita bermazhab, perlu diperhatikan beberapa batasnya. Pertama, ketaatan yang sebenar adalah kepada al-Quran dan al-Sunnah. Mazhab hanya berperanan memudahkan ketaatan tersebut, bukan menggantikannya.

Kedua, mengikuti mazhab bukanlah bererti membebaskan diri daripada sifat belajar dan mengkaji. Ini kerana menuntut ilmu merupakan salah satu kewajipan agama sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

Menuntut ilmu adalah wajib atas setiap Muslim. Oleh itu wajib belajar ajaran fiqh mazhab dengan mengkaji dalil-dalilnya dan membandingkannya dengan mazhab yang lain atau penelitian semula oleh tokoh terkemudian.

Hasan al-Banna rahimahullah menasihatkan:

Bagi setiap Muslim yang belum mencapai tingkat ‘mujtahid’ terhadap dalil-dalil umum syari‘at, diperbolehkan baginya untuk mengikut pendapat salah seorang imam agama (imam mazhab).

Namun sangat dianjurkan agar dia berusaha dengan segenap kemampuannya untuk mempelajari dalil-dalil yang dipergunakan oleh imam yang diikutinya dan tetap bersedia menerima kebenaran dari orang lain yang berhak mengemukakannya.

Selain itu dia harus berusaha menyempurnakan segala kekurangan ilmunya jika dia adalah seorang yang mampu melakukan hal itu sehingga akhirnya dia dapat mencapai kedudukan sebagai seorang mujtahid.

Flowchart: Document: Bagi orang yang mampu meng-kaji secara terus kepada dalil al-Qur’an dan al-Sunnah, me-reka tidak memerlukan mazhab melainkan sekadar sumber me-luaskan skop kajian. Bagi orang yang tidak mampu, mereka memerlukan mazhab sebagai jalan yang memudahkan keta-atan kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Golongan yang perta-ma tidak boleh mengecam golo-ngan yang kedua dan begitulah juga sebaliknya.Mutakhir ini terdapat segelintir pihak yang menolak mazhab fiqh Islam dan melarang orang ramai daripada bermazhab. Golongan ini pernah ditegur oleh al-Sya’rani rahimahullah:

Janganlah anda menolak atau melemahkan pendapat salah seorang imam mujtahid (imam mazhab) hanya berdasarkan kefahaman anda yang dangkal terhadap al-Qur’an dan al-Sunnah kerana pemahaman anda itu tidak lain hanyalah seperti angin yang berlalu jika dibandingkan dengan kefahaman para imam mujtahid.

Senafas dengan teguran di atas ialah apa yang diperkatakan oleh Taha Jabir al-‘Alwani:

Hanya berdasarkan kepada pengkajian sebuah buku berkenaan ilmu Islam yang sekian luas ini, seseorang itu tidaklah dapat mengkategorikan dirinya sebagai seorang mujtahid, iaitu seseorang yang layak untuk mengeluarkan hukum dengan sendiri.

Yusuf al-Qaradhawi mengulas lebih lanjut:

Pada abad kita sekarang ini ada orang-orang yang menyatakan diri mereka sebagai mujtahid dan mengajak orang-orang lain untuk turut menjadi mujtahid.

Mereka beranggapan mampu mengarah manusia kepada satu arah yang mereka buat dan menyatukan manusia ke dalam satu pendapat yang mereka anuti, sesuai dengan pemahaman mereka terhadap nas syari‘at. Dengan cara ini lenyaplah mazhab-mazhab yang ada dan hapuslah segala bentuk perbezaan pendapat sehingga semua orang bertemu dalam kalimat yang satu.

Tetapi mereka lupa bahawa pemahaman mereka terhadap nas, tidak lebih dari sekadar pendapat yang boleh mengandungi kesalahan atau kebenaran. Tidak ada seorang ulama’ yang maksum pendapatnya, sekalipun dia telah memenuhi segala syarat ijtihad. Dia hanya terjamin mendapat pahala atas ijtihadnya, sama ada benar atau salah.

Oleh kerana itu golongan ini hanya akan mewujudkan satu mazhab yang baru di samping mazhab-mazhab yang sedia ada. Selain itu dengan anehnya mereka mengecam para pengikut mazhab kerana bertaqlid kepada para imam mazhabnya padahal mereka sendiri menuntut orang ramai agar bertaqlid dan mengikut mereka !

Janganlah anda beranggapan bahawa saya menolak ajakan mereka untuk mengikuti nas atau mengecam ijtihad mereka dalam memahami nas. Hal ini adalah merupakan hak setiap Muslim yang telah memenuhi syarat-syarat ijtihad. Tidak seorangpun yang punya hak untuk pintu ijtihad yang dibuka oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam untuk umatnya.

Apa yang saya tolak adalah kesombongan mereka (golongan anti mazhab) terhadap metodologi para ulama’ umat, sikap mereka yang melecehkan warisan fiqh, tuntutan mereka bahawa mereka sahaja yang paling benar sedangkan orang lain adalah keliru, serta anggapan bahawa mereka mampu menghapuskan perbezaan pendapat dan menyatukan semua orang ke dalam satu pendapat, iaitu pendapat mereka sendiri.

Oleh itu yang benar mazhab-mazhab fiqh Islam memiliki kepentingan kepada umat Islam, hanya tahapnya yang berbeza-beza. Bagi orang yang mampu mengkaji secara terus kepada dalil al-Qur’an dan al-Sunnah, mereka tidak memerlukan mazhab melainkan sekadar sumber meluaskan skop kajian. Bagi orang yang tidak mampu, mereka memerlukan mazhab sebagai jalan yang memudahkan ketaatan kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Golongan yang pertama tidak boleh mengecam golongan yang kedua dan begitulah juga sebaliknya.

Mengapa Iblis diciptakan?

1. Iblis, merupakan seburuk-buruk makhluk Allah yang berpunca segala kejahatan, sebagai tandingan dari penciptaan Jibril yang dianggap sebagai semulia-mulia makhluk, sesucu-suci dan yang merupakan sumber dari segala kebaikan. Allah Ta'ala lah yang maha Kuasa membuat penenentang atau lawan dari apa yang ditetapkan.

2. Penciptaan seperti ini samlah seperti adanya ciptaan sifat yang berlawanan seumpama malam dan siang, penyakit dan obat, hidup dan mati, baik dan buruk dan sebagainya.Itu semua sebagai pertanda yang sekokokh-kokohnya atas kesempurnaan Allah Ta'ala, Kemuliaanya, Kebesaran, kekuasaan dan pemerintahan Allah dalam mengatur serta menciptakan alam semesta ini.

3. Oleh sebab itu adanya lawan atau kebalikan dan segala sesuatu yang diciptakan itu, maka muncul pulalah nama-nama tuhan yang mengandungi pengertian keperpekasaaNya seperti:

1, Maha perkasa
2. Maha Pemberi balasan
3. Maha adil
4. Maha Pemeberi bencana
4. Maha pedih siksanya
5. Maha cepat memperhitungan
6. Maha sangat azabnya
7. Maha menurunkan darjat
8. Maha mengangkat
9. Maha memuliakan
10. Maha merendahkan.

4. Nama-nama yang mengandung pengertian perbuatan-perbuatan sebagaimana diatas itu, adalah sebagai kesempurnaan yang hanya dimiliki oleh Allah Taala sendiri yang pasti ada hubungan dengan apa yang sebenarnya-benarnya di alam semesta itu.

Di antara hikmat-hikmat yang lain ialah munculnya bekas-bekas atau kesan-kesan dari nama-nama Tuhan yang mengandung pengertian kekasih sayangNya seperti:

1. Maha Pengampun
2. Maha Pelebur dosa
3. Maha Menutup kesalahan
4, Maha melampaui dalam memberi hak dan membebaskan dosa hamba-hamba yang dikehendakiNya.

Jadi andaikata Allah tidak mencipta sesuatu yang tidak disukai olehNya yang merupakan sebab-sebab yang menimbulkan kesan-kesan dalam benda-benda itu, maka tentu akan menganggur sajalah hikmat dan faedahnya.

Sabda Rasulullah SAW menjelaskan:

"Andaikata kamu semua tidak pernah melakukan dosa, maka pastilah kamu semua akan dilenyapkan Allah SWT dan tentu akan datanglah suatu golongan yang pernah berdosa, yang kemudian memohon pengampunan kepada Allah, lalu mereka diampuni olehNya".
(HR Muslim dari Abu Hurairah r.a)

5.Adanya keperluan seperti berjihad, nahi mungkar merupakan amalan yang sangat disuruh Allah melakukan, tanpa adanya pengaruh yang jahat melalui pengasutan iblis maka sudah tentu tidak diperlakukan ketaatan atau peribadatan yang berupa jihad fi sabililah atau kerja-kerja menghapuskan kemungkaran.

Hadis Qudsi

1.Hadis Qudsi ialah hadis yang bersumber dari Rasulullah SAW dan disanadkan (dihubungkan/disandarkan) kepada Allah SWT.

2.Menurut para ulama', Hadis Qudsi ialah sesuatu yang diterbitkan Allah kepada Nabi SAW, dengan perantaraan Jibril atau dengan jalan ilham atau mimpi waktu tidur, lalu oleh Rasulullah SAW diberitakannya pula maksud dan tujuan berita di atas (kepada umatnya) dengan lafaz dan ucapan beliau sendiri, berdasarkan taufiq dari Allah SWT.

3.Apabila Rasulullah SAW meriwayatkan Hadis Qudsi, biasanya baginda mengucapkan kata, ”Allah berfirman”, tapi firman itu tidak dimasukkan dalam al-Quran. Begitu juga uslubnya (susunan kata) tidak sama dengan uslub ayat-ayat al Quran.

4.Apabila para sahabat menceritakan Rasulullah SAW, ketika meriwayatkan Hadis Qudsi, biasanya mereka mengucapkan, ”Rasulullah telah bersabda dalam satu riwayat yang disanadkan kepada RabNya”

5.Yang jelas bahawa Rasulullah SAW pernah meriwayatkan Hadis Qudsi hanya isi dan maknanya sahaja, tidak dengan lafaznya.

6.Hadis Qudsi adalah satu perbendaharaan agama yang mulia lagi agung, yang d idalamnya terdapat tuntunan, bimbingan, pedoman dan petunjuk.Di antara hadis-hadis qudsi yang sampai kepada kita, ada yang sahih memenuhi syarat-syarat Ilmu hadis, bersumber dari Rasulullah saw yang dijamin kebenarannya oleh Allah di dalam Al Quran:

”Dan tidak mengucapakna sesuatu yang terbit dari hawa nafsunya. Dia tidak akan mengucapkan sesuatu, kecuali wahyu dari Allah”
- (Surah An Najam:3-4)

7.Hadis Qudsi diriwayakan oleh Nabi saw dengan jalan wahyu, baik melalui Jibril as, dengan perantaraan mimpi atau ilham. Sedang hadis Nabawi terkadang dengan perantaraan wahyu, atau dengan ijtihad (bererti usaha dengan sungguh-sungguh untuk memperoleh alasan yang kuat dalam menetapkan suatu hukum) Rasulullah saw sendiri. Adapun kedudukan sahih, hasan, atau dhaifnya, hadis Qudsi sama saja dengan Hadis Nabawi, menurut ketentuan muthalah hadis.

Peranan Ibubapa menangani gejala sosial dalam Masyarakat

1. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama menangani kemelut gejala sosial yang berlaku.. Firman Allah SWT. dalam surah An-Nahl ayat 125:

"Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik, sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalan-Nya, dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah".


Kita harus memaksimumkan penggunaan Medium Dakwah yang melibatkan pendekatan kesukanan, hiburan, teknologi canggih seperti penggunaan IT. yang meliputi penggunaan Laman Sosial, Blog, E-Mail atau melalui Laman-laman Web.

2. Ibubapa hendaklah bersikap terbuka dalam memainkan peranan mereka bagi menarik minat anak-anak dengan cara atau jalan yang paling baik. Pendekatan tegas, berdisiplin disamping menunjukkan kasih sayang, lembut dan mesra adalah sangat sesuai dalam mentarbiyyah anak-anak. Kita tidak ingin melihat anak-anak menjadi semakin jauh daripada kita akibat tiada belaian kasih sayang dan kemesraan terhadap mereka.

Justeru, ibubapa hendaklah mempelajari Ilmu-ilmu Motivasi dan Pentarbiyyahan terkini sesuai dengan peredaran zaman. Ada masa dan ketika kita menjadikan mereka teman dan ada masa kita bertegas dengan mereka. Kasih sayang dan kemesraan hendaklah dipupuk, Program-program Pembinaan Ukhuwwah Dan Jalinan Kekeluargaan hendaklah sentiasa dibentuk seperti lawatan, perkhemahan, hari keluarga, riadhah santai bersama keluarga dan sebagainya.


3. Apa yang paling penting peranan keluarga dalam menangani gejala sosial yang berlaku ialah penerapan asas-asas agama kepada anak-anak kita dengan memberi Pendidikan Asas Fardhu 'Ain dalam diri setiap anak-anak, mudah-mudahan ianya akan menjadi obor dalam kehidupan mereka untuk memperolehi keredhaan Allah SWT.

Ibubapa hendaklah menjadi contoh utama dalam amalan dan menunaikan kewajipan agama seperti solat secara berjamaah dan membimbing anak-anak berkenaan batas-batas pergaulan dalam Islam, pemeliharaan batasan aurat, galakan untuk menghadhiri kelas-kelas agama dan sebagainya.

4. Disamping itu peranan masjid, NGO, Jabatan-jabatan Kerajaan, Swasta, JKKK. dan Individu Perseorangan dalam membendung gejala sosial hendaklah diperkasakan dengan menyumbang apa-apa yang perlu samada kewangan, kemudahan, dewan, tempat rekreasi atau peralatan mengendalikan Program-program Kesedaran atau Khidmat Nasihat berupa Ceramah Motivasi, Kaunseling, Penyediaan Kursus-kursus Keinsafan, Bimbingan Kerjaya atau Panduan Berumahtangga demi menyelamatkan generasi muda daripada menjadi mangsa keruntuhan akhlak dan akidah.

5. Firman Allah SWT. dalam surah Toha ayat 132:

"Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat dan hendaklah engkau bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu;. dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertaqwa".

Menurut buku "Apa Ertinya Saya Menganut Islam " yang dikarang oleh Fathi Yakan menyatakan beberapa langkah:

5.1. Memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa matlamat hidup insan ialah sebagai khalifah dan sebagai hamba Allah. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 30:

"Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi".

Ini menjelaskan kepada kita bahawa sebagai khalifah dan hamba Allah, umat Islam wajib menegakkan agama Allah dan mentadbir alam ini berlandaskan syarak dan agama serta patuh dan taat mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT. Firman Allah SWT. dalam surah Az-Zariyat ayat 56:

"(Ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku".

5.2. Manusia haruslah memahami bahawa nilai dunia adalah terlalu sedikit dan bersifat sementara berbanding akhirat.

5.3. Manusia hendaklah menyedari bahawa kematian pasti datang menemui kita. Justeru, carilah bekalan menuju alam akhirat. Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 185:

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan hanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya, dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan".

5.4. Umat Islam mestilah mengetahui hakikat Islam itu dengan mempelajari selok-belok agama agar hilang kejahilan umat dan kebaikan akan terserlah akhirnya. Hadith ini diriwayatkan oleh Al-'Askari daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

"Sesungguhnya ilmu itu didapati dengan belajar dan kefahaman itu didapati dengan mendalami ilmu, barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah akan kebaikan, nescaya Allah akan memberikannya kefahaman dalam agama".

5.5. Umat Islam mestilah mengenali siapakah jahiliyyah atau musuh Islam. Semua perkara yang menyimpang daripada agama adalah jahiliyyah. Kita hendaklah waspada bahawa musuh-musuh ini akan sentiasa menghancurkan kita termasuk budaya dan pemikiran.

Tegasnya untuk menyelesaikan sebahagian masalah gejala sosial ini adalah dicadangkan:

Pertama: Sesebuah keluarga mestilah menggalakkan mereka yang bujang supaya berumahtangga kerana Rasulullah menegaskan dalam hadithnya yang diriwayatkan oleh Baihaqi dan Al-Hakim:

"Sesiapa yang berkahwin sesungguhnya ia telah menyempurnakan separuh dari agamanya maka bertaqwalah ia pada separuh yang lain".

Kedua: Pembinaan sesebuah keluarga hanya berjaya dengan tarbiyyah, asuhan dan didikan menurut nilai-nilai Islam.

Ketiga: Sesebuah keluarga amat wajar memantau dan mengambil tahu pergaulan dan pergerakan anak-anak mereka agar tidak terjebak dengan perkara-perkara negatif.

Keempat: Sesebuah Keluarga, Ahli Masyarakat dan Pemerintah perlulah memainkan peranan penting dalam usaha membentuk dan mencorakkan generasi kini menjadi Generasi Soleh dengan Penyediaan Alternatif Aktiviti dan Program Membina Generasi Taqwa dan menjadi Modal Insan yang hakiki untuk hari ini dan akan datang, sebagaimana usaha yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor ke arah Pembinaan Modal Insan yang baik dengan pelaksanaan Program SPIES di semua peringkat.

Oleh itu marilah kita sebagai umat yang dianugerahkan akal yang waras dan diberikan kesedaran Islam yang tinggi, bertindaklah segera kembalikanlah umat Islam ke jalan yang lurus dan jalan taqwa agar kehidupan kita akan memperolehi ketenangan di dunia dan di akhirat.

Firman Allah swt dalam surah At-Thur: 21

"Dan orang yang beriman dan diikuti oleh zuriat keturunan mereka dalam keimanan, Kami hubungkan zuriat keturunan itu dengan mereka (di dalam syurga); dan Kami tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amalan mereka; Setiap manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya".





Dipetik dan disesuaikan dari Khutbah Jumaat Bacaan 8 Oktober 2010 oleh JAIS.