Ahlan Wasahlan

Selamat Datang ke alam Insan Bernama Kekasih

Khamis, 9 September 2010

Panduan Solat Sunat Aidilfitri Berdasarkan Hadith-hadith Sahih

ANTARA HADITH-HADITH BERKAITAN SOLAT SUNAT AIDILFITRI

1. Dari Abu Said al-Khudri, katanya : Adalah Nabi Muhammad SAW pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha keluar ke mushalla ( padang untuk solat ), maka pertama yang beliau kerjakan adalah solat, kemudian setelah selesai beliau berdiri menghadap kepada manusia sedang manusia masih duduk tertib pada saf (barisan) mereka, lalu beliau memberi nasihat dan wasiat (khutbah ) apabila beliau hendak mengutus tentera atau ingin memerintahkan sesuatu yang telah beliau putuskan, beliau perintahkan setelah selesai beliau pergi. (HR: Bukhari dan Muslim )

2. Telah berkata Jaabir ra : Saya menyaksikan solat 'ied bersama Nabi Muhammad SAW. Beliau memulai solat sebelum khutbah tanpa azan dan tanpa iqamah, setelah selesai beliau berdiri bertekan atas Bilal, lalu memerintahkan manusia supaya bertaqwa kepada Allah, mendorong mereka untuk taat, menasihati manusia dan memperingatkan mereka, setelah selesai beliau turun mendatangi saf wanita dan selanjutnya beliau memperingatkan mereka. (HR : Muslim )

3. Dari Ibnu Umar ra. katanya : Umar mendapati pakaian tebal dari sutera yang dijual, lalu beliau mengambilnya dan membawa kepada Rasulullah SAW. lalu berkata : "Ya Rasulullah belilah pakaian ini dan berhiaslah dengannya untuk hari raya dan untuk menerima utusan". Maka Rasulullah menjawab : "Sesungguhnya pakaian ini adalah bahagian orang-orang yang tidak punya bahagian di akhirat (yakni orang kafir)".
(HR : Bukhari dan Muslim )

4. Diriwayatkan dari Ummu 'Atiyah ra ia berkata : Rasulullah SAW memerintahkan kami keluar pada Aidilfitri dan Aidiladha, semua gadis-gadis, wanita-wanita yang haid, wanita-wanita yang tinggal dalam kamarnya. Adapun wanita yang sedang haid mengasingkan diri dari mushalla (tempat solat 'ied ), mereka menyaksikan kebaikan dan mendengarkan dakwah kaum muslimin (mendengarkan khutbah ). Saya berkata : "Ya Rasulullah bagaimana dengan kami yang tidak mempunyai jilbab?" Baginda bersabda: "Supaya saudaramu meminjamkan kepada kamu dari jilbabnya". (H.R : Jama'ah)

5. Dari Anas bin Malik katanya : Adalah Nabi SAW tidak berangkat menuju mushalla kecuali beliau memakan beberapa biji kurma, dan beliau memakannya dalam jumlah bilangan ganjil. (HR : Bukhari dan Muslim )

6. Diriwayatkan dari Burayaidah ra ia berkata : Adalah Nabi SAW tidak keluar untuk solat Aidilfitri sehingga makan terlebih dahulu dan tidak makan pada solat Aidiladha sehingga beliau kembali dari solat 'ied. ( HR : Ibnu Majah, At-Tirmidzi dan Ahmad)

7. Dari Ibnu Abbas ra ia berkata : Bahawasanya Rasulullah SAW keluar untuk solat Aidilfitri dua raka'at, tidak solat sunah sebelumnya dan tidak pula sesudahnya.
(HR : Bukhari dan Muslim )

8. Diriwayatkan dari Jaabir ra ia berkata : Adalah Nabi SAW apabila keluar untuk solat 'ied ke mushalla, beliau menyelisihkan jalan (yakni waktu berangkat melalui satu jalan dan waktu kembali melalui jalan yang lain ). (HR : Bukhari )

9. Diriwayatkan dari Yazid bin Khumair Arrahbiyyi ra katanya : Sesungguhnya Abdullah bin Busri seorang sahabat Nabi SAW keluar bersama manusia untuk solat Aidilfitri atau Aidiladha, maka beliau mengingkari keterlambatan imam, lalu berkata : Sesungguhnya kami dahulu ( pada zaman Nabi (S.A.W.) pada jam-jam seperti ini sudah selesai mengerjakan solat 'ied. Pada waktu ia berkata demikian adalah pada solat Dhuha.
(HR : Abu Daud dan Ibnu Majah)

10. Diriwayatkan dari Abi Umair bin Anas, diriwayatkan dari seorang pamannya dari golongan Anshar, ia berkata: Mereka berkata: Karena tertutup awan maka tidak terlihat oleh kami hilal Syawal, maka pada pagi harinya kami masih tetap puasa, kemudian datanglah satu kafilah berkendaraan di akhir siang, mereka bersaksi di hadapan Rasulullah SAW bahawa mereka kelmarin melihat hilal. Maka Rasulullah SAW memerintahkan semua manusia ( umat Islam ) agar berbuka pada hari itu dan keluar menunaikan solat 'ied pada hari esoknya. (HR : Imam yang lima kecuali At-Tirmidzi)

11. Diriwayatkan dari Azzuhri, ia berkata : Adalah manusia (para sahabat) bertakbir pada hari raya ketika mereka keluar dari rumah-rumah mereka menuju tempat solat 'ied sampai mereka tiba di mushalla ( tempat solat 'ied ) dan terus bertakbir sampai imam datang, apabila imam telah datang, mereka diam dan apabila imam bertakbir maka merekapun ikut bertakbir. (HR: Ibnu Abi Syaibah)

12. Diriwayatkan bahawa Ibnu Mas'ud ra bertakbir pada hari-hari tasyriq dengan lafaz sbb: (ertinya): Allah maha besar, Allah maha besar, tidak ada Illah melainkan Allah dan Allah maha besar, Allah maha besar dan bagiNya segala puji. (HR Ibnu Abi Syaibah dengan sanad shahih )

13. Diriwayatkan dari Amru bin Syu'aib, dari ayahnya, dari neneknya, ia berkata : Sesungguhnya Nabi SAW bertakbir pada solat 'ied dua belas kali takbir. Dalam rakaat pertama tujuh kali takbir dan pada rakaat yang kedua lima kali takbir dan tidak solat sunnah sebelumnya dan juga sesudahnya. (HR : Ahmad dan Ibnu Majah )

14. Diriwayatkan dari Samuroh,katanya : Adalah Rasullullah SAW dalam solat kedua hari raya beliau membaca: Sabihisma rabbikal A'la dan Hal ataka haditsul ghosiah.
(HR : Ahmad )

15. Diriwayatkan dari Abu Waqid Allaitsi, ia berkata : Umar bin Khatthab telah menanyakan kepadaku tentang apa yang dibaca oleh Nabi SAW sewaktu solat 'ied . Aku menjawab : Baginda Rasullullah membaca surah (qtarabatissa' ah ) dan ( Qaaf walqur'anul majid). (HR : Muslim )

16. Diriwayatkan dari Zaid bin Arqam ra ia berkata : Nabi SAW mendirikan solat 'ied, kemudian beliau memberikan ruhkshah (kemudahan) dalam menunaikan solat Jumaat, kemudian beliau bersabda : "Barang siapa yang mahu solat Jumaat, maka kerjakanlah". (HR : Imam yang lima kecuali At-Tirmidzi )

17. Dari Abu Hurairah ra bahawasanya Rasullullah SAW bersabda: "Pada hari kamu ini, telah berkumpul dua hari raya (hari Jumaat dan hari raya), maka barang siapa yang suka solat Jumaat, maka solatnya diberi pahala sedang kami akan melaksanakan solat Jumaat". (HR : Abu Daud )

TATACARA SOLAT SUNAT AIDILFITRI DAN AMALAN SUNAH BERKAITAN

Waktu untuk mengerjakan solat Aidil Fitri adalah setelah terbitnya matahari setinggi tombak sehingga tergelincirnya matahari iaitu waktu dhuha. Disunnahkan untuk melewatkan solat Aidil Fitri agar memberikan kesempatan mereka yang belum menunaikan zakat fitrah untuk menyempurnakannya.

Bila hari raya jatuh pada hari Jumaat, maka solat Jumaat menjadi sunat, boleh diadakan dan boleh tidak, tetapi untuk pemuka umat atau imam masjid jami' sebaiknya tetap mengadakan solat Jumaat. (dalil: 16 dan 17 )

1 – Tidak ada solat sunat sebelum dan sesudah Solat Aidil Fitri.
Dari Ibnu `Abbas bahawasanya Rasulullah SAW keluar pada Aidil Fitri kemudian solat dua rakaat dan tidak solat sebelumnya dan tidak pula sesudahnya.
(hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 989)

Hanya sahaja di Malaysia ini solat Aidil Fitri dikerjakan di masjid-masjid. Maka perlu untuk dilaksanakan solat Tahiyat al-Masjid kerana secara umumnya setiap kali seseorang masuk ke dalam masjid adalah disyari’atkan untuk dikerjakan solat sunat dua rakaat Tahiyat al-Masjid. Ini adalah sebagaimana sabda Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam:

Apabila salah seorang di antara kamu masuk masjid, hendaklah dia rukuk (solat) dua rakaat sebelum duduk. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Sholah, hadis no: 444)

2 – Tidak ada azan atau iqamah mahupun apa-apa ucapan sebelum solat Aidil Fitri. Dari Ibnu `Abbas radhiallahu ‘anh: Bahawa Rasulullah SAW melaksanakan solat `Ied tanpa azan dan tanpa iqamah. (Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Daud, Kitab al-Sholah, hadis no: 968)

Namun untuk kemaslahatan umum, dibolehkan membuat pengumuman ringkas untuk memberi tahu para hadirin bahawa solat Aidil Fitri berjamaah akan bermula, agar mereka dapat bangun dan mula menyusun saf, lebih-lebih di tempat solat yang luas dimana kedudukan imam tidak dapat dilihat.

3 – Jumlah rakaat solat Aidil Fitri adalah dua.
Dari Ibnu `Abbas RA dia berkata: Bahawasanya Rasulullah SAW keluar pada Aidil Fitri kemudian solat dua rakaat… (Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 989)

4 – Terdapat tambahan takbir di dalam solat Aidil Fitri.
Dari `Aisyah RA, dia berkata: “Bahawa Rasulullah SAW biasa bertakbir pada solat Aidil Fitri dan Aidil Adha, pada rakaat pertama tujuh kali takbir dan pada rakaat kedua lima kali takbir, selain dari dua takbir rukuk. (Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Dawud, Kitab al-Sholah, hadis no: 970)

Ada pun tentang jumlah takbir secara keseluruhannya sebelum bacaan al-Fatihah, maka terdapat dua pendapat yang masyhur:

i – Untuk rakaat pertama lapan takbir, iaitu satu Takbiratul Ihram dan tujuh takbir kerana solat Aidil Fitri. 1 + 7 = 8. Untuk rakaat kedua enam takbir, iaitu satu takbir kerana memulai rakaat kedua dan lima takbir kerana solat Aidil Fitri. 1 + 5 = 6.

ii – Untuk rakaat pertama tujuh takbir, iaitu satu Takbiratul Ihram dan enam takbir solat Aidil Fitri. 1 + 6 = 7. Untuk rakaat kedua lima takbir, iaitu satu takbir kerana memulai rakaat kedua dan empat kali takbir solat Aidil Fitri. 1 + 4 = 5.

Kedua-dua pendapat termasuk dalam kategori perbezaan pendapat yang dibenarkan. Boleh memilih salah satu daripadanya atau yang lebih tepat, mengikuti takbir imam solat Aidil Fitri dalam pendapat yang dipilihnya.

5 – Tentang haruskah diangkat tangan atau tidak ketika takbir tersebut, menurut Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan: Tidak pernah diriwayatkan dari Rasulullah SAW bahawa baginda mengangkat kedua tangannya ketika takbir pada solat Aidil Fitri (takbir pada rakaat pertama yang berjumlah tujuh kali dan pada rakaat kedua lima kali)…

Hanya sahaja Ibnul Mundzir berkata: “Malik telah berkata bahawa di dalam masalah ini (iaitu angkat atau tidak tangan ketika takbir tersebut) tidak ada sunnah yang dianggap muktamad. Barangsiapa ingin mengangkat kedua tangannya pada waktu takbir tidak mengapa. Namun pendapat pertama (iaitu tidak mengangkat tangan) lebih aku sukai.” (Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan, Total Koreksi Ritual Salat, ms. 395-396)

Oleh itu di dalam hal ini bolehlah kita memilih untuk mengangkat atau tidak tangan ketika takbir-takbir tersebut, namun yang lebih hampir kepada sunnah Nabi SAW ialah dengan tidak mengangkatnya. Wallahu’alam.

6 – Mengenai bacaan di antara takbir-takbir tersebut maka Syaikh `Ali Hassan bin `Ali al-Halabi al-Atsari berkata: Tidak ada hadis yang sahih yang diriwayatkan dari Nabi SAW mengenai doa tertentu yang dibaca di antara takbir-takbir solat Aidil Fitri, tetapi telah ditetapkan dari Ibnu Mas’ud RA bahawasanya dia berkata mengenai solat Aidil Fitri: “Di antara dua takbir dipanjatkan pujian kepada Allah ‘Azza wa Jalla sekaligus sanjungan ke atasNya.” (Syaikh `Ali Hassan bin `Ali al-Halabi al-Atsari, Meneladani Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam Dalam Berhari Raya, ms. 61)

Menurut Imam Ahmad dan Imam al-Syafi’i sunat di antara dua takbir itu membaca zikir seperti:

“Subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaha illallah, wallahu akbar”.
(Dinukil darpada kitab Fikih Sunnah, karya Syaikh Sayyid Sabiq (edisi terjemahan oleh Mahyuddin Syaf, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1990) jilid 2, ms. 286)

7 – Tentang surah-surah yang dibacakan baginda SAW setelah membaca al-Fatihah, Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah telah berkata: Diriwayatkan secara sahih dari bacaan pertama surah Qaf dan surah al-Qamar dan bacaan kedua surah al-A’laa dan al-Ghaasyiah, dan hanya inilah riwayat yang sahih dari beliau tentang bacaan itu (iaitu pada solat Aidil Fitri).
(Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Zaadul Ma’ad, ms. 49)

8 – Apabila seseorang tidak dapat turut serta untuk solat Aidil Fitri bersama secara berjemaah maka hendaklah dia solat dua rakaat secara sendiri. Di dalam Shahih al-Bukhari terdapat sebuah riwayat dari Atha’ bahawa dia berkata: Jika seseorang terlewatkan (tidak mendapatkan) solat Hari Raya, maka hendaklah dia solat dua rakaat. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, Bab Apabila Seseorang Tidak Mendapatkan Solat `Ied, Maka Hendaklah Dia Melaksanakan Solat Dua Rakaat)

Makan

Sebelum berangkat solat Aidilfitri disunnahkan makan terlebih dahulu, jika terdapat beberapa butir kurma, jika tidak ada maka makanan apa saja.

Yang menghadiri solat sunat Aidilfitri

Solat Aidil Fitri disunatkan untuk dihadiri oleh orang dewasa, baik lelaki mahupun wanita, baik wanita yang suci dari haid mahupun wanita yang sedang haid dan juga kanak-kanak baik laki-laki mahupun wanita. Wanita yang sedang haid tidak ikut solat, tetapi hadir untuk mendengarkan khutbah 'ied. (Dalil: 4 )

rujukan

1. Panduan Solat Sunat, Darul Nu'man.
2. http://www.iluvislam.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan