Ahlan Wasahlan

Selamat Datang ke alam Insan Bernama Kekasih

Sabtu, 14 Ogos 2010

Ramadhan dan Pendustaan Tentangnya

Bismillahhirrahmanirrahim..

Bila masuk sahaja bulan Ramadhan,umat Islam akan berebut-rebut untuk melakukan ibadah. Pada waktu malam masjid-masjid dan surau-surau dipenuhi mereka yang ingin melakukan solat terawih. Ada yang benar-benar ikhlas semata-mata kerana Allah, namun tak kurang juga, pasti ada yang mengharapkan balasan seperti yang terdapat di dalam hadis-hadis yang sering dibacakan apabila masuk bulan Ramadhan. Namun kita semua harus sedar terdapat banyak hadis-hadis palsu yang mempengaruhi minda masyarakat kita.

Ramai muslim akan cuba untuk berkongsi ilmu dan mencetuskan kesedaran kepada rakannya yang lain mengenai Ramadhan. Ada yang memberikan ceramah, tazkirah, menulis artikel, dan tidak kurang juga yang akan memanjangkan (forward) artikel-artikel berkaitan. Agak malang, sebahagian mereka telah terlibat di dalam pendustaan tanpa sedar. Pendustaan yang kerap berlaku ialah mereka menyandarkan kata-kata membabitkan fadhilat puasa dan Ramadhan kepada Nabi Muhammad SAW, sedangkan nabi sendiri tidak pernah mengungkap kata-kata berkenaan.

Ini bukan untuk mencetuskan polemik salaf atau khalaf, tetapi hanyalah usaha kecil untuk menyedarkan umat Islam mengenai implikasi sekiranya kita berbohong atas nama nabi, seperti yang termaktub di dalam hadis mutawatir yang bermaksud, “Barangsiapa yang berdusta kepadaku dengan sengaja, maka dia telah menempah tempatnya di neraka”.

Mengulas hadis ini, Imam al-Nawawi berkata, “Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu’ atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu’. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu’ serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini.”

Antara pendustaan atas nama nabi Muhammad yang berlaku menjelang Ramadhan ialah seperti berikut:

1. Kononnya Saidina Ali meriwayatkan hadis Rasulullah SAW mengenai fadhilat solat tarawih mengikut malam, contohnya malam pertama akan jadi seperti bayi yang baru dilahirkan, malam ke-7 seolah-olah dapat bertemu dengan nabi Musa dan membantu baginda menentang Fir’aun, dan malam ke-24 akan dimaqbulkan 24 doa. Hadis tidak pernah direkod di dalam mana-mana kitab himpunan hadis muktabar. Maknanya juga menepati ciri-ciri hadis palsu (maudhu’).

2. Hadis Rejab bulan Allah, Sha’ban bulan nabi dan Ramadhan bulan umat nabi. Hadis ini direka oleh Ibn Jahdam, seorang ahli tasauf yang turut mencipta beberapa hadis maudhu’ lain bagi tujuan galakan kepada umat Islam.

3. Hadith yang menyatakan Ramadhan itu awalnya rahmah, pertengahannya ada maghfirah (pengampunan) dan akhirnya ada pembebasan daripada api neraka. Teks hadis ini dikatakan merupakan sebahagian daripada khutbah nabi sebelum Ramadhan, antaranya turut mengandungi fadhilat memberi iftar kepada orang lain. Menurut Al-Albani, hadith ini termasuk di dalam hadis dho’if dari sudut periwayat dan periwayatannya.

4. Hadis yang menyatakan berpuasalah kamu, nescaya kamu akan sihat. Teks penuh hadis ini ialah “berperanglah kalian, nescaya kalian akan mendapatkan ghonimah (harta rampasan perang), puasalah kalian nescaya kalian sihat, bermusafirlah kalian nescaya kalian bercukupan”. Hadis ini juga terdiri daripada hadith-hadith yang dho’if dari sudut periwayat dan periwayatannya.

Justeru, apa sikap kita apabila didatangi dengan hadis-hadis di atas? Walaupun mungkin ada makna di sebalik hadis di atas yang betul, seperti hadis puasalah, nescaya kamu akan sihat, akan tetapi Islam amat menitikberatkan keabsahan sesebuah hadith. Jangan sama sekali kita menyandarkan sesuatu yang kurang pasti sebagai kata-kata Rasulullah, kerana itu adalah pendustaan tanpa sedar. Sebaik-baiknya kita perlu mengelak daripada menulis, berceramah atau mem’forward’ artikel yang mengandungi hadith-hadith di atas. Akan tetapi ada juga sebahagian ulamak yang tetap membaca beberapa hadis lemah di atas, tetapi mereka menyatakan status hadith tersebut sebagai hadis dho’if.

Semoga kita mampu meningkatkan kualiti ibadah Ramadhan kita dengan memurnikan ilmu yang berkaitan dengannya. Allahua'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan