Ahlan Wasahlan

Selamat Datang ke alam Insan Bernama Kekasih

Sabtu, 12 Februari 2011

MENGAPA RASULULLAH SAW MENANGIS

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada al-Barra` dalam al-Tarikh oleh Imam al-Bukhari ketika Nabi SAW melalui sebuah kawasan dengan para sahabat kelihatanlah di situ sekumpulan manusia sedang berkumpul, lalu Nabi SAW merapati mereka lantas bertanya, apakah yang sedang dilakukan, jawapannya ialah mereka sedang menggali kubur untuk si mati. Nabi SAW telah mendekatkan diri kepada mereka sambil melutut di tempat kubur itu digali, dan ternyata baginda mula menangis. Pesan yang terbit daripada mulut baginda SAW adalah : Wahai saudara-saudaraku, untuk perkara ini, buatlah persiapan ! ( Riwayat al-Bukhari dlm al-Tarikh )

Abu Bakar r.a seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim amat kuat menangis, hinggakan dalam solat apabila beliau menjadi imam, amat payah baginya meneruskan bacaan kerana orang sepertinya amat memahami tuntutan ayat, dan maksud di sebaliknya. Oleh itu beliau menjadi amat takut apabila membaca ayat-ayat tentang amaran daripada Allah dan peringatan-Nya. Demikian pula Umar al-Faruq r.a, seperti yang dilaporkan dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari secara mu'allaq dalam bab al-Azan daripada Abdullah bin Syaddad, maksudnya apabila beliau menjadi imam lalu sampai pada ayat ke 86 surah Yusuf yg bermaksud : (Nabi Yaakub) menjawab: "Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya) , beliau menangis hinggakan suaranya didengari oleh makmum pada saf yg terakhir .Jangan pula kita sangka saf mereka ni pendek macam saf solat kita pd hari ni !
Usman bin Affan juga terkemuka dengan tabiat kuat menangis, sebagai contohnya apabila berada di perkuburan beliau akan menangis hinggakan basah janggutnya seraya berkata yg bermaksud : "RasululLah SAW bersabda yang bermaksud, kubur adalah tempat persinggahan yang pertama daripada kehidupan akhirat, jika seseorang selamat di situ maka apa yang sesudahnya mudah baginya , sebaliknya jika di situ dia sudah tidak selamat, selepasnya akan menjadi lebih payah baginya ( riwayat at-Tirmizi, sahih ).
Abdurrahman bin Auf, sahabat yang terkemuka sebagai hartawan yang unggul pernah dihidangkan untuknya makanan. Tidak semena-mena beliau menangis. Apabila ditanyakan kepadanya sebab tangisannya, jawapan beliau adalah aku teringat akan sahabat kita Mus'ab bin Umair yang telah mati sebelum kita sebagai syahid. Dia ternyata lebih baik daripadaku. Walaupun demikian apabila dia terkorban dalam Perang Uhud itu, tiada kain kapan yang cukup untuk menutupinya, apabila ditutup kepalanya kedua kakinya akan terdedah dan apabila ditutupi kakinya wajahnya akan terdedah...Aku bimbang segala nikmat dunia yang dianugerahkan ini merupakan suatu yang telah disegerakan oleh Allah untuk dunia kita...dan diakhirat kelak, kita tidak akan memperolehi lagi nikmat-nikmat ...Lalu semua yang hadir menangis bersama2 dengannya. ( Riwayat Muslim )

Apabila belajar tentang hadis2 seperti ini , barulah kita memahami bahawa tangisan adalah disebabkan rasa kebersalahan dalam diri kerana dosa .Ia berpunca daripada ilmu yang mantap dan pengetahuan terhadap tanggungjawab kita terhadap Allah yang belum dipenuhi. Juga disebabkan pergaulan kita dengan orang2 salih serta pengajaran yg diambil kerana interaksi dengan mereka.Harus diingat hati yang tak menangis terhadap kelemahan diri merupakan satu tanda penyakit hati sudah menimpa kita...atau dlm perkataan lain kerana ia sudah keras...bimbanglah jika ia mati...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan