Ahlan Wasahlan

Selamat Datang ke alam Insan Bernama Kekasih

Sabtu, 10 Julai 2010

Bulan Rejab, Bulan Allah?

Banyak kedengaran daripada khutbah Jumaat terutamanya pada awal bulan Rejab mengenai hadis-hadis yang diriwayatkan tentang kelebihan bulan ini, Allah janjikan pahala yang besar bagi orang yang berpuasa walaupun sehari di bulan ini. Antara hadis-hadis itu ialah:

"Bulan Rejab adalah bulan Allah, bulan Syaaban adalah bulanku, dan bulan Ramadhan adalah bulan umatku"

Apakah taraf sebenar hadis ini? Apakah benar di bulan Rejab disediakan sesuatu? Apakah hukum meriwayatkan hadis kepada orang ramai sedangkan hadis itu palsu semata-mata?


Tidak benar tentang adanya sesuatu di bulan Rejab melainkan ia adalah salah satu daripada bulan-bulan yang diharamkan yang disebut Allah dalam al-Quran(bulan-bulan haram:Rejab,Zulkaedah,Zulhijjah,Muharram)

Tidak ada hadis sahih yang menceritakan tentang kelebihan bulan Rejab. Walaupun begitu,ada sebuah hadis hasan menceritakan bahawa Nabi s.a.w. telah berpuasa (di bulan Rejab) lebih banyak daripada bulan Syaaban. Bila ditanya,baginda mengatakan : Kerana ia(Rejab) bulan pengampunan di antara Rejab dan Ramadhan.

Daripada hadis ini dapat difahami bahawa Rejab itu ada kelebihan. Adapun hadis "Bulan Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku, dan Ramadhan bulan umatku" adalah hadis yang sangat mungkar dan daif bahkan Ibnu Katsir mengatakan ia adalah hadis maudu' iaitu hadis yang dusta. Ia tiada nilai dari segi ilmiah,jua tiada nilai dari segi agama.

Begitu juga hadis-hadis lain yang meriwayatkan tentang kelebihan bulan Rejab iaitu siapa yang sembahyang demikian baginya pahala demikian, sesiapa yang meminta ampun sekali, baginya pahala bagi amalannya itu... Semua ini dusta dan berlebih-lebihan.

Di antara tanda dusta di dalam hadis-hadis ialah ia mengandungi perkara yang dilebih-lebihkan dan ditambah-tambah sebagai mana kata ulama. "Sesungguhnya janji dengan pahala besar di atas pahala yang kecil atau amaran azab yang pedih dengan dosa yang kecil menunjukkan hadis itu dusta.

Sebagaimana ada yang mengatakan tentang sebuah hadis :

"Sesuap makanan ke dalam perut orang yang lapar itu lebih baik daripada membina seribu masjid".

Hadis ini adalah dusta kerana tidak masuk akal sesuap makanan kepada orang yang lapar itu lebih besar pahalanya daripada pahala membina seribu masjid.

Tetapi kadang-kadangseseorang itu tidak mengetahui bahawa hadis yang diceritakan itu dusta. Oleh itu,wajiblah dia mengetahui punca datangnya hadis itu. Banyak buku-buku untuk mengetahui tentang taraf sesuatu hadis antaranya, Al-Maqasid Al-Hasanah tulisan Al-Sakhawi.

Sesungguhnya Allah memberi taufik kepada ulama' yang menjelaskan kepada orang ramai tentang yang asal dari yang luar, yang ditolak dari yang diterima. Hendaklah kita mengambil faedah dari usaha mereka ini.. Waallahu'alam..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan