Ahlan Wasahlan

Selamat Datang ke alam Insan Bernama Kekasih

Ahad, 11 Julai 2010

Melihat Sebelum Bertunang

Apakah harus seorang pemuda melihat seorang gadis sebelum mengikat tali pertunangan?

Persoalan ini sangat penting. Di sini ada dua pendapat yang berbeza. Golongan yang pertama bukan sahaja mengharuskan lelaki melihat tunangnya bahkan membenarkannya keluar ke sana ke mari bersama-sama, pergi ke tempat perayaan, panggung wayang dengan alasan untuk mengenali wanita itu dan mengujinya.

Selepas itu perkara yang menyedihkan dan memalukan berlaku, lelaki itu meninggalkan gadis tersebut selepas menodainya dan setelah membawanya keluar di khalayak ramai. Lelaki itu bebas masuk ke rumahnya, keluar bersamanya dan melancong bersama-sama, namun akhirnya maruah gadis tersebut tercemar dan menjadi buah mulut orang ramai. Golongan ini merupakan hamba kepada kemajuan barat.

Golongan yang lain pula bertentangan pendapatnya dengan golongan di atas. Mereka tidak membenarkan sama sekali lelaki melihat tunangnya,begitulah seterusnya sehingga mereka berkahwin. Golongan ini ialah hamba kepada adat resam yang lapuk.

Kedua-dua golongan ini adalah dicela. Jalan yang paling baik di antara dua golongan ini ialah jalan yang di anjurkan oleh syariat sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasullullah iaitu seseorang itu boleh melihat tunangnya. Seorang lelaki Muslim telah berjumpa Nabi dan berkata :

"Saya telah meminang seorang perempuan dari bani Ansar"
Lalu Baginda Rasullullah bertanya kepadanya, "Apakah awak sudah melihatnya?" Jawabnya, "Tidak". Rasullullah bersabda lagi, "Lihatlah ia,kerana pada mata-mata wanita Ansar itu ada sesuatu."

Al-Mughirah bin Syu'bah telah meminta izin dari Nabi bahawa dia telah meminang seorang wanita, kata Nabi kepadanya, "Apakah engkau telah melihatnya?" Jawabnya, "Tidak." Lalu Nabi berkata kepadanya, "Lihatlah kepadanya semoga ia dapat menambahkan lagi kasih sayang antara kamu berdua"

Mata menyejukkan hati dan sampai kepada perasaan. Oleh itu mestilah dilihat dahulu sebelum berkahwin, ini adalah suruhan Nabi. Pada asalnya adalah suruhan, manakala pada zahirnya adalah wajib, sebagaimana maksud sebuah hadis :

"Apabila salah seorang kamu meminang seorang wanita dan berniat untuk berkahwin dengannya,maka lihatlah sebahagian dari tubuhnya agar ia membawa kepada perkahwinan".

Oleh itu haruslah bagi lelaki itu melihat bakal tunangnya dan keluarga wanita itu mestilah bekerjasama dengan membenarkannya sehingga masing-masing dapat melihat antara satu sama lain.

Dari sini adalah hak wanita itu untuk menolak atau menerimanya. Oleh itu mestilah masing-masing saling melihat sebelum berkahwin sehinggalah kehidupan rumahtangga dapat dibina di atas asas yang kukuh dan rukun-rukun yang selamat lagi teguh.

Ibubapa perlulah membantu demi menjaga perasaan anak perempuannya. Inilah jalan yang selamat daripada dua jalan yang melampau itu. Syariat Islam sentiasa berada di pertengahan dan adil kepada semua umat. Firman Allah :

"Demikianlah kami jadikan kamu umat yag pertengahan supaya kamu menjadi saksi kepada sekalian manusia" (Al-Baqarah:143)

Urusan keluarga menurut pandangan Islam bersifat menyeluruh. Kita perlulah menitikberatkan tentang urusan berkeluarga bermula dari pemilihan calon suami/isteri lagi. Justeru syariat Islam yang membenarkan kita melihat dahulu sebelum bertunang mampu menjamin kebahgiaan rumahtangga seterusnya melahirkan keturunan yang berilmu dan berakhlak mulia. InsyaAllah. Sama-samalah kita berdoa moga redha Allah bersama kita. Yang baik datang daripada Allah, yang buruk itu disandarkan atas kelemahan saya sendiri. Waallahu'alam..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan