Ahlan Wasahlan

Selamat Datang ke alam Insan Bernama Kekasih

Selasa, 13 Julai 2010

Nisfu Syaaban

Kita sekarang berada di bulan Syaaban. Sesetengah orang Islam mengkhususkan malam nisfu Syaaban dengan doa-doa dan sembahyang.. Apakah amalan mereka ini terdapat dalam syarak dan apakah ada kelebihan pada malam nisfu Syaaban?

Ada beberapa hadis yang menerangkan tentang kelebihan malam nisfu Syaaban,antaranya:

"Allah akan terus menerima amalan hamba-Nya pada malam nisfu Syaaban dan memperkenankan doa-doa mereka kecuali sebahagian dari mereka yang melakukan maksiat."

Hadis ini adalah hasan menurut sesetengah ulama' dan setengahnya mengatakan hadis ini daif. Kadi Abu Bakar Ibn al-Arabi berkata: "Tiada satu hadis pun yang menerangkan tentang kelebihan malam nisfu Syaaban.Jika kita terima hadis-hadis yang menerangkan tentang kelebihan malam ini dan menghidupkannya dengan penuh ketaatan ia tidak datang dari nabi,tidak juga sahabat,bukan juga dari kaum yang pertama selepas sahabat sedangkan mereka sebaik-baik manusia yang hidup di kala itu dan mereka tidak pernah berkumpul beramai0ramai di masjid untuk menghidupkan malam ini dan membaca doa yang tertentu sebagaimana kita tahu di sesetengah negara Islam."

Di sesetengah negara,orang berkumpul di masjid selepas Maghrib,membaca surah Yasin kemudian sembahyang dua rakaat dengan niat panjang umur! Kemudia membaca doa,doa yang mereka baca itu tidak ada nas dan juga tidak pernah dilakukan oleh sahabat. Doa itu juga mempunyai makna dan susunan yang tidak tepat.

Antara doa yang mereka baca adalah seperti berikut:

"Ya Allah! Andai telah ditakdirkan di sisi-Mu akan aku dalam kitab azali bahawa aku celaka dan diharamkan akan daku,terusir atau sedikit rezeki,maka hapuslah dengan kemurahan-Mu kecelakaanku dan sedikit rezeki dan terusir serta kurang rezekiku itu dan tetapkanlah di sisi-Mu dalam azali itu dengan kebahagiaan, beroleh rezeki yang digunakan kepada kebaikan,sesungguhnya Engkau ada berkata dan kata-kataMu adalah benar sebagaimana tercantum di kitab-Mu yang Engkau turunkan atas lidah nabi-Mu: "Dihapuskan Allah apa yang dikehendaki atau tetapkannya dan di sisi-Nya kitab azali."

Ayat ini bermaksud bahawa kitab azali itu tiada penghapusan dan tiada penetapan. Penghapusan dan penetapan adalah selain dari kitab azali daripada mashaf malaikat-malaikat dan selainnya. Jika inilah makna ayat,bagaimana seseorang hamba itu memohon agar dihapuskan dan ditetapkan di dalam kitab azali sedangkan ia tidak boleh dihapuskan dan ditetapkan?

Adapun malam yang menjelaskan setiap perkara yang penuh hikmah daripada Allah ialah malam Lailatul Qadar di mana pada malam itu diturunkan Al-Quran. Ianya di bulan Ramadhan sebagaimana yang disebut di dalam Al-Quran. Firman Allah :

"Haa Miim, Demi kitab yang nyata, Kami turunkan kitab ini di malam yang penuh keberkatan, dan sesungguhnya Kamilah yang memberikan peringatan" [Al-Dukhan:1-4]

Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah. Firman-Nya lagi:

"Sesungguhnya Kami turunkan ia (Al-Quran) pada malam Lailatul Qadar." [Al-Qadr:1]

Firman Allah lagi;

"Bulan Ramadhan yang kami turunkan padanya Al-Quran." [Al-Baqarah:185]

Maka malam yang menjelaskan semua urusan yang penuh hikmah ialah malam di bulan Ramadhan iaitu malam Lailatul Qadar mengikut ijmak ulama'.

Hadis yang diriwayatkan dari Qatadah bahawa malam nisfu Syaaban ialah malam yang menerangkan segala urusan yang penuh hikmah adalah lemah dan daif kerana ada hadis lain yang diriwayatkan oleh Qatadah juga yang mengatakan ianya adalah malam Lailatul Qadar. Dalam bidang pengajian hadis, periwayat yang meriwayatkan dua hadis yang membawa maksud hadis yang bertentangan, maka hadis itu tertolak.Maka sudah pasti malam yang menjelaskan tentang semua urusan dan yang penuh hikmah itu adalah malam Lailatul Qadar sahaja, sebagaimana yang telah disepakati oleh jumhur ulama'.

Adalah lebih baik kita beribadat sebagaimana yang Rasul lakukan,jua sahabat dan mereka selepasnya yang lebih tinggi ilmunya. Adalah tidak wajar jika kita ikuti perbuatan mereka yang baru. Tiap-tiap perkara baru adalah bid'ah,bid'ah adalah sesat dan setiap kesesatan itu akan menuju neraka jika kita tidak kembali. Semoga Allah memberi kita taufik di atas ikutan kepada Rasul dan para sahabatnya. Waallahu'alam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan